GAMBAR yang tular.
GAMBAR yang tular.
Mahani Ishak

Kuala Lumpur: Hospital Kuala Lumpur (HKL) memaklumkan pesakit yang dirawat atas lantai di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan kerana katil penuh selain atas faktor keselamatan dan rawatan segera, beliau terus dirawat di situ.

Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray berkata, disebabkan itu, pesakit dibaringkan secara mengiring ke kanan untuk mengelakkan air liurnya masuk ke dalam saluran paru-paru yang mana ia akan lebih memberikan risiko lain.

"Pesakit berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma secara tiba-tiba dalam keadaan tidak sedarkan diri, tiada denyutan dan tidak bernafas.

"Ketika itu, semua katil digunakan dan pada masa itu didapati lantai mempunyai permukaan rata adalah yang terbaik, maka bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan serta merta. Bagaimanapun pesakit tidak dapat diselamatkan.

"Oleh kerana sebab kematian tidak dapat dikenal pasti, jenazah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HKL untuk bedah siasat dan kini menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak semalam, tular gambar banyak hantaran di Facebook mengenai seorang pesakit yang dirawat di atas lantai dan pada masa sama, seorang doktor dipercayai berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di HKL mendedahkan, mereka tidak lagi mampu untuk menampung pesakit baharu.

Dalam catatan doktor itu di media sosial, beliau menjelaskan, perkara itu berlaku disebabkan bilangan pesakit terlalu ramai sehingga ada yang terpaksa menunggu lama untuk dirawat.

Dr Heric berkata, berhubung gambar pesakit yang didapati terbaring dan dirawat di atas lantai, kes berkenaan dikategorikan kecemasan di mana beliau mengalami sawan dan mempunyai risiko jatuh daripada katil kanvas.

Sementara itu, berhubung isu kekurangan katil pesakit di HKL, beliau berkata, penggunaan katil pada masa ini adalah meningkat berikutan terdapat pertambahan penerimaan kes Covid-19 dan kebanyakan kes adalah pada tahap empat.

"Bagaimanapun, perancangan terhadap pengurusan katil sentiasa diteliti di mana penggunaan katil hanyalah mengikut keperluan semasa dan HKL sudah menangguhkan kes pembedahan elektif sejak Disember lalu.

"Ia bagi memberi keutamaan kepada kes kecemasan yang lebih memerlukan penggunaan katil," katanya.

Dalam pada itu, Dr Heric berkata, berkenaan bekalan oksigen di wad, pada masa ini bekalan oksigen sama ada jenis piping atau silinder masih di tahap yang mencukupi.

"Pihak HKL sentiasa menyusuli syarikat pembekal untuk memastikan proses bekalan sentiasa di tahap optimum bagi keperluan oksigen di wad-wad HKL.

"Sekiranya terdapat keperluan bekalan oksigen yang tinggi pada satu-satu masa, bekalan itu akan diambil daripada wad yang kurang penggunaannya dan digunakan di wad yang lebih memerlukan," katanya.

Katanya, beliau menjelaskan, pengurusan kes pesakit Covid-19 di HKL, ia adalah diselia oleh Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 (UCC) yang mengelola seluruh kes Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Melalui aturan daripada UCC, HKL akan menerima rujukan kes kritikal dan kecemasan dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor yang sedang menerima kes Tahap 1 sehingga 2 dan juga Tahap 3 sehingga 4 pada masa ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, penggunaan katil pada masa ini adalah berada pada tahap sangat tinggi.

"Berkenaan laporan terdapat kekangan kapasiti katil serta petugas yang tidak mencukupi di unit rawatan rapi (ICU), memang penggunaan katil pada masa ini adalah berada pada tahap sangat tinggi.

"Sebagai makluman, alat perubatan seperti oksigen, katil dan lain-lain sentiasa berada di dalam perancangan dan permintaan kepada pihak pembekal mengikut keperluan semasa.

"Selain itu, tenaga kerja di ICU dibantu petugas yang juga kakitangan yang bertugas di wad biasa serta klinik di HKL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:29 PM