SYATILLA bersama suami dan anak sulung. FOTO ihsan Syatilla Melvin
SYATILLA bersama suami dan anak sulung. FOTO ihsan Syatilla Melvin
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Syatilla Melvin yang kini hamil anak kedua bakal melahirkan bayi perempuan pada April ini.

Syatilla, 28, atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin berkata, dia bersyukur dan teruja apabila dimaklumkan doktor mengenai perkara itu.

“Ini satu lagi khabar gembira buat saya dan suami. Saya berdoa semoga segalanya dipermudahkan hingga bersalin nanti. Memandangkan anak sulung adalah lelaki, jadi selepas ini kami ada sepasang cahaya mata. Sejak disahkan hamil, saya selalu cakap dengan suami alangkah seronok jika dikurniakan anak perempuan.

“Apa pun, saya tak nak terlalu teruja. Paling penting, bayi dalam kandungan sihat dan sempurna apabila dilahirkan nanti,” katanya isteri pelakon popular Shaheizy Sam itu.

Berkongsi mengenai keadaannya, Syatilla berkata, dia kini lebih banyak berehat di rumah.

Selain itu, Syatilla juga mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada berlakon.

“Pada awal kehamilan saya sempat menjalani penggambaran drama Selafaz Cinta. Itu pun sebab saya sudah persetujui lebih awal kerana belum disahkan hamil.

“Selepas semuanya selesai, saya ambil keputusan untuk berehat. Saya memang tak terbabit dalam mana-mana projek dan banyak duduk di rumah saja. Kalau keluar pun hanya pergi menghadiri mana-mana acara. Namun, ia bergantung pada keadaan.

“Dalam usia kandungan hampir enam bulan, memang cepat letih. Kalau boleh nak duduk saja,” katanya.

Sebelum disahkan hamil, Syatilla pernah mengalami keguguran pada Julai tahun lalu.

Syatilla dan Sam berkahwin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Sheriv Samheizy yang kini berusia setahun lapan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 9:18 AM