SAM dan Syatilla berkongsi berita gembira. FOTO IG SYATILLA
SAM dan Syatilla berkongsi berita gembira. FOTO IG SYATILLA

Kuala Lumpur: Selepas tiga kali mengalami keguguran, pelakon Syatilla Melvin, 30, bersyukur selepas disahkan hamil lagi.

Syatilla yang juga isteri kepada pelakon popular, Shaheizy Sam, 39, berkata, rezeki itu sangat tidak dijangka dan tiba pada waktu dia berhasrat untuk memakai alat pencegahan dalam rahim (IUD).

"Kali keenam. Syukur alhamdulillah. Baru rancang nak pakai IUD, tahu tak? Rezeki Allah nak bagi.

"Hari-hari minta Allah murah rezeki, murah sungguh-sungguh Allah bagi. Doakan kandungan bertahan sampai sembilan bulan," katanya yang juga hamil anak ketiga.

Menurut Sam dalam perkongsiannya pula, Syatilla dijadualkan akan bersalin pada Mei tahun depan.

"Produk terbaru akan datang! Setelah RND (penyelidikan dan pembangunan) lebih tiga minggu. Dijangka bakal dilancarkan pada bulan Mei tahun depan," katanya.

Pada April lalu, Syatilla berkongsi berita sedih apabila mengalami keguguran kali ketiga ketika kandungan berusia lapan minggu.

Pelakon drama Sha & Shah itu sebelum ini pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali sebelum melahirkan anak pertama dan kedua.

Sam dan Syatilla mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:55 PM