VAKSIN Moderna. FOTO AGENSI
VAKSIN Moderna. FOTO AGENSI
Agensi

Washington: Gara-gara kelalaian petugas sebuah klinik di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS), hampir 500 dos vaksin Covid-19 Moderna terpaksa dibuang selepas petugas itu terlupa memasukkannya dalam tempat simpanan beku.

Portal RT News melaporkan, kelalaian itu ternyata satu pembaziran berikutan ketika ini vaksin Covid-19 sangat diperlukan di seluruh dunia ketika ini.

Petugas itu terlupa meletakkan semula 50 botol atau bekas simpanan vaksin berkenaan di dalam tempat penyimpanan klinik menyebabkan ia tidak dapat digunakan lagi.

Beberapa laporan menyebut vaksin itu perlu disimpan pada suhu -20 darjah Celsius untuk memastikan ia boleh digunakan.

"Kami mendapat tahu 50 botol vaksin Moderna secara tidak sengaja dikeluarkan dari peti sejuk berkenaan, dan dibiarkan semalaman.

"Kami sangat kesal dengan perkara ini," kata jurucakap Klinik Advocate Aurora Health di Gaston, Wisconsin.

Malah, jurucakap berkenaan berkata, walaupun vaksin itu masih dalam tempoh 12 jam yang dibenarkan di luar proses penyejukan, ia terpaksa dihapuskan bagi memastikan kualitinya.

Vaksin Moderna tidak perlu disimpan di bawah suhu ekstrem seperti mana vaksin Pfizer-BioNTech, namun ia masih perlu diletakkan pada suhu antara -25 dan -15 darjah Celsius.

Untuk rekod, satu dos vaksin Moderna dianggarkan berharga di antara AS$32 (RM130) dan AS$37 (RM150).

AS meluluskan vaksin Covid-19 Moderna bagi kegunaan kecemasan sekali gus membolehkan enam juta dos akan dihantar ke seluruh negara.

Ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), Stephen Hahn berkata, keputusan itu menunjukkan pihaknya mengambil langkah perlu untuk membendung penularan pandemik itu.

"Dengan kelulusan dua vaksin untuk mencegah Covid-19, FDA melakukan tindakan penting dalam memerangi pandemik global ini," katanya.

AS ketika ini berusaha memberi suntikan vaksin kepada 20 juta rakyatnya membabitkan penduduk yang mendapat rawatan jangka panjang dan petugas kesihatan barisan hadapan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 8:00 AM