ORANG ramai berjalan berhampiran Stesen Shinjuku, Tokyo. FOTO AFP
ORANG ramai berjalan berhampiran Stesen Shinjuku, Tokyo. FOTO AFP
BERNAMA

Tokyo: Kerajaan Jepun pada Isnin meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer untuk mereka berusia 12 hingga 15 tahun, lapor Sputnik, memetik Agensi Berita Kyodo.

Bagaimanapun, kumpulan usia itu hanya akan menerima vaksin berkenaan selepas semua petugas perubatan dan warga emas menerima vaksin masing-masing.

Setakat ini, dianggarkan enam peratus penduduk Jepun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, jauh lebih rendah berbanding negara maju lain.

Perdana Menteri Yoshihide Suga berjanji untuk mempercepat usaha vaksinasi serta memastikan semua warga emas divaksin sebelum bermulanya Olimpik Tokyo pada Julai.

Dalam perkembangan berkaitan, Jepun telah meluluskan garis panduan penyimpanan vaksin Pfizer, membolehkan ia disimpan selama sebulan pada suhu 2-8 darjah Celsius selepas dikeluarkan dari peti sejuk beku, berbanding lima hari sebelum ini.

Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) menyatakan mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun layak menerima vaksin ini selepas ujian klinikal membabitkan 2,260 kanak-kanak menunjukkan kadar keberkesanan 100 peratus, tanpa ada mengalami gejala kecuali 18 orang yang diberi plasebo.

Awal bulan ini, AS dan Kesatuan Eropah meluluskan penggunaannya untuk kumpulan usia berkenaan.

Jepun meluluskan Pfizer untuk mereka berusia 16 tahun ke atas pada Februari.

Selain itu, Jepun turut mengadakan perjanjian dengan pengeluar Britain AstraZeneca dan firma bioteknologi AS Moderna.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:24 PM