KERAJAAN mengumumkan akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19.
KERAJAAN mengumumkan akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19.

PERLUMBAAN kuasa besar dunia kini bukan lagi tertumpu kepada negara mana yang kembali melancarkan misi ke angkasa lepas.

Sebaliknya, pelbagai negara kini berlumba-lumba mahu menjadi yang pertama dapat melaksanakan program vaksinasi kepada rakyatnya.

Ketika artikel ini ditulis, Amerika Syarikat (AS) dilihat menjadi pendahulu kepada perlumbaan ini dengan dua calon vaksin utama.

Satu daripadanya dibangunkan oleh gergasi farmasuetikal AS, Pfizer dan rakan niaganya, BioNTech dari Jerman manakala satu lagi dibangunkan oleh Moderna.

CNN melaporkan Pfizer melaporkan analisis akhir ujian fasa tiga mendapati bahawa vaksin dibangunkannya menunjukkan keberkesanan 95 peratus dalam mencegah jangkitan Covid-19.

Moderna pula dalam laporan yang disiarkan AFP menyatakan vaksin dibangunkannya berkesan mencegah jangkitan virus sama pada tahap 94.1 peratus.

Kedua-dua pengeluar ini sudah mengemukakan permohonan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) bagi kelulusan kebenaran penggunaan kecemasan.

Bagaimanapun, United Kingdom (UK) sudah meluluskan penggunaan vaksin itu bagi membolehkan vaksin itu dapat segera disuntik di lengan rakyat negara itu menjelang pertengahan bulan ini.

Satu lagi kuasa besar yang tidak mahu ketinggalan adalah Rusia apabila mengeluarkan vaksin Sputnik-V yang diuar-uarkan oleh media negara itu sebagai vaksin 'Covid-19 pertama yang berdaftar di pasaran' selepas ia didaftarkan dengan kementerian kesihatannya.

China yang menjadi lokasi pertama virus itu dikesan sejak akhir tahun lalu pula kini membangunkan beberapa calon vaksin Covid-19.

Menurut The Guardian, lima vaksin dibangunkan di China kini pada peringkat ujian klinikal terakhir termasuk di Brazil, Turki dan Indonesia.

Berbalik di Malaysia, kerajaan sudah mengumumkan akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.

Penghantaran pertama membabitkan sejuta dos vaksin itu akan dibuat pada suku pertama tahun depan.

Baki 10 peratus lagi vaksin akan diperoleh menerusi fasiliti Covax, sekali gus bakal menjamin akses vaksin Covid-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, di sebalik khabar gembira mengenai vaksin dibangunkan Pfizer dan Moderna, banyak pihak yang mula melihat cabaran aspek logistik bagi mengedarkan vaksin itu ke seluruh dunia.

Vaksin dibangunkan Pfizer, umpamanya perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius. Sebagai perbandingan, vaksin dibangunkan Moderna adalah stabil apabila disimpan dalam peti ais kegunaan biasa pada suhu antara dua dan lapan Celsius untuk tempoh 30 hari.

Vaksin itu boleh disimpan dalam suhu -20 darjah Celsius sehingga tempoh enam bulan.

Sehubungan itu, ia memberikan cabaran kepada syarikat itu dalam mengedarkan vaksin berkenaan terutama ke negara yang mempunyai infrastruktur yang mencapai standard diperlukan.

Ini belum lagi persoalan golongan yang akan mendapat akses terhadap vaksin itu.

Ia memandangkan setiap negara termasuk Malaysia mempunyai perancangan tersendiri dalam menggunakan vaksinasi bagi menghasilkan imuniti kelompok atau herd community.

Menurut Kementerian Kesihatan, imuniti kelompok merujuk kepada virus tidak dapat tersebar dalam suatu kelompok masyarakat kerana sebahagian besar daripada mereka mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan.

Cara terbaik mencapainya adalah melalui vaksinasi.

Realitinya, setakat ini tiada satu laporan pun berhubung tempoh sesuatu vaksin itu bertahan.

Justeru, sehingga vaksin itu diluluskan selamat untuk digunakan di negara ini dan disuntik di lengan penerima, semua pihak perlu meneruskan segala langkah pencegahan sedia ada bagi melindungi diri daripada ancaman virus Covid-19 ini.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 5:59 AM