Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI warga Singapura dikenali sebagai 'Boy Setan' yang diburu polis dipercayai membuat penghantaran dadah menggunakan dron dari Johor Bahru ke Singapura baru-baru ini sudah ditahan polis, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

"Ya lelaki terbabit sudah ditahan di sebuah kondominium di Johor Bahru pagi ini," katanya ringkas.

Sementara itu di laman Twitternya beliau berkata, penama 'Boy Setan' yang bertanggungjawab mengedar dadah menggunakan dron dari Kranji, Singapura dan Johor Bahru berjaya ditangkap pagi ini.

"Syabas JSJN Johor @PDRMsia @JSJNPDRM @KDNPUTRAJAYA," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis giat memburu lelaki warga Singapura dikenali sebagai 'Boy Setan' selepas dipercayai membuat penghantaran dadah menggunakan dron dari Johor Bahru ke Singapura baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia 40 tahun itu masih di Johor Bahru dan sudah berada di negara ini sejak tiga bulan lalu.

Katanya, ketika ini pergerakan suspek terhad sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Suspek datang (ke Johor Bahru) sekali sekala untuk operasi penghantaran dadah ke sana (Singapura)," katanya.

Berita berkaitan:

  • Dron seludup dadah
  • Polis perhebat usaha kekang penyeludupan dadah
  • Boy Setan diburu, hantar dadah guna dron [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 3:56 PM