Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Nurul Amanina Suhaini

LELAKI warga Singapura dikenali sebagai Boy Setan yang ditahan di sebuah kondominium di Mount Austin, Johor Bahru bersama teman wanitanya pada 1 tengah hari semalam, adalah ahli kongsi gelap 'Salakau' atau Geng 369 di republik terbabit.

Boy Setan disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah menggunakan dron dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seorang lagi lelaki yang juga rakan Boy Setan turut ditahan pihaknya di sebuah kondominium di sekitar Johor Bahru pada 5 petang semalam.

"Dua lelaki itu menganggotai kongsi gelap sama di Singapura manakala teman wanita Boy Setan pula warga tempatan.

"Ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 41 tahun.

"Boy Setan dan rakannya itu adalah individu dikehendaki pihak berkuasa Singapura," katanya hari ini.

Menurutnya, saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis turut membuat rampasan dadah meliputi 37 biji pil ecstasy (11.83 gram), 13.60 gram syabu dan 2.40 gram heroin dan nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak RM2,590.

"Kedua-kedua suspek warga Singapura itu direman selama 14 hari hingga 7 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Selain itu, 'Boy Setan' turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi rakannya disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita berkaitan

Dron seludup dadah

Polis perhebat usaha kekang penyeludupan dadah

Boy Setan diburu, hantar dadah guna dron [METROTV]

Boy Setan dah ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 5:41 PM