Omar Ahmad


POLIS mengesahkan penahanan lelaki warga Singapura yang dikenali sebagai 'Boy Setan', yang berjaya diberkas, tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata suspek ditahan 1 tengahari tadi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK), Johor.

Katanya, suspek berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan di Taman Mount Austin, Johor Bahru.

"Hasil tangkapan itu, kami percaya akan dapat mengesan saki-baki individu yang terbabit dalam penyeludupan dadah menggunakan dron itu," katanya dalam kenyataan ringkas, di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ramli Din dalam cicipan laman Twitternya memberitahu, penama 'Boy Setan' yang bertanggungjawab mengedar dadah menggunakan dron dari Kranji, Singapura dan Johor Bahru berjaya ditangkap pagi ini.

"Syabas JSJN Johor @PDRMsia @JSJNPDRM @KDNPUTRAJAYA," katanya.

Semalam, Polis Johor memburu Boy Setan kerana dipercayai terbabit dalam penghantaran dadah menggunakan dron dari Johor Bahru ke Kranji, Singapura.

Suspek juga dikatakan masih berada di Johor sejak tiga bulan lalu, ekoran pergerakan terhad akibat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Berita berkaitan:

  • Boy Setan dah ditahan
  • Dron seludup dadah
  • Polis perhebat usaha kekang penyeludupan dadah
  • Boy Setan diburu, hantar dadah guna dron [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 7:31 PM