LAPORAN Portal Harian Metro
LAPORAN Portal Harian Metro
BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) terus memperhebatkan usaha mengekang penyeludupan dadah yang semakin canggih dan terdesak sehingga menggunakan teknologi dron ketika ini.

Justeru, rangkaian kerjasama dengan pihak berkuasa dari negara jiran, terus diperkasa bagi menggagalkan kegiatan penyeludupan dadah secara moden itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, kerjasama dengan pihak berkuasa dari Singapura, Thailand dan Indonesia sangat diperlukan bagi mengekang apa jua modus operandi baharu yang digunakan mana-mana sindiket bagi membawa masuk bekalan dadah.

"Penggunaan dron dalam penyeludupan dadah adalah modus operandi baharu yang dikesan di Johor. Pihak kami sedang adakan kerjasama erat dengan pihak berkuasa dari negara jiran untuk menyiasat perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, kawalan di sempadan negara juga dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah bukan sahaja menerusi dron tetapi apa jua cara sekalipun.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis kini memburu seorang lelaki Singapura dikenali sebagai 'Boy Setan' yang juga suspek utama bagi kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke republik itu, baru-baru ini.

Menurut Ayob Khan, lelaki itu yang nama sebenarnya ialah Mohamad Azli Ahmad Said, 40, turut dikehendaki pihak berkuasa Singapura kerana kesalahan berkaitan dadah.

Sabtu lalu, polis menangkap dua lelaki Singapura kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), data penerbangan yang diambil daripada telefon seorang suspek menunjukkan dron itu diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru sebelum kembali semula ke Kranji.

Susulan maklumat itu, polis Singapura turut menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 8:33 PM