Taktik dua lelaki Singapura diketuai Boy Setan rentas negara bekal barang terlarang terbongkar.
Taktik dua lelaki Singapura diketuai Boy Setan rentas negara bekal barang terlarang terbongkar.
Oleh Omar Ahmad


PENGGUNAAN dron taktik terbaharu penyeludupan dadah atau transporter antara sempadan Malaysia-Singapura.

Ia dipercayai dilakukan bagi membekalkan dadah ke negara jiran itu berikutan larangan rentas sempadan yang masih dijalankan berikutan pandemik Covid-19.

Kegiatan terbabit terbongkar apabila dua lelaki warga Singapura ditahan polis republik itu selepas didapati menggunakan dron untuk menerima dadah yang diseludup menggunakan dron, Sabtu lalu.

Data penerbangan yang diambil dari telefon seorang daripada suspek menunjukkan pesawat tanpa pemandu itu terbang dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru sebelum kembali semula ke Kranji.

Berikutan itu, polis memburu seorang lelaki warga Singapura dikenali sebagai Boy Setan selepas dipercayai membuat penghantaran dadah menggunakan dron dari bandar raya ini ke Singapura, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia 40 tahun itu masih di Johor Bahru dan sudah berada di negara ini sejak tiga bulan lalu.

Katanya, ketika itu pergerakan suspek terhad sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negara ini.

"Suspek datang (ke Johor Bahru) sekali sekala untuk operasi penghantaran dadah ke sana (Singapura).

"Suspek ini memang dikehendaki Polis Singapura," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek dipercayai membuat penghantaran dadah ke Kranji di Singapura dari Dataran Bandaraya Johor Bahru pada sebelah petang.

"Saya percaya (kegiatan penghantaran dadah) bukan (didalangi) sindiket, tetapi penyeludupan secara kecil-kecilan dengan menggunakan dron bawah kapasiti 20 kilogram.

"Ini kerana jika berat dron lebih 20 kilogram, ia perlu mendapat kebenaran penerbangan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA)," katanya.

Dron sudah menjadi pupular dalam kartel dadah di sempadan Mexico-Amerika Syarikat dalam menyeludup dadah selain mengali terowong di sempadan kedua-dua negara.

Boleh terbang 8km dalam 30 minit

Dron yang berada di pasaran ketika ini walaupun kecil mampu diterbangkan sejauh lapan kilometer (km) untuk tempoh 30 minit dengan membawa muatan sehingga 10 kilogram.

Begitu penjelasan juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian mengenai modus operandi baharu sindiket edar dadah menggunakan dron untuk memasuki ruang udara negara bagi mengedar barang terlarang itu.

Mohd Harridon berkata, terdapat beberapa dron yang boleh digunakan untuk merentasi perairan antara Singapura dan Malaysia yang jaraknya hanya sekitar satu kilometer (km).

"Kita perlu akui dron yang ada sekarang walaupun kecil dengan berat 900 gram, mampu pergi (terbang) sejauh lapan kilometer dan terbang selama 30 minit.

"Dron ini juga mampu membawa muatan lebih 500 gram dan paling maksimum 10 kilogram serta terbang dalam keadaan stabil apabila muatan diletak pada posisi optimum," katanya.

Menurutnya, contoh dron yang berkualiti dan mampu terbang jauh seperti DJI Mavic dan DJI Matrice.

"Dron teknologi matang secara jitu di mana pelbagai dron kecil mampu dimuatkan dengan enjin elektronik yang dapat menampung beban tinggi.

"Enjin elektronik amat efisien daripada segi 'heat dissipation' (pelesapan haba) yang membolehkan ia mampu terbang dengan lebih lama.

"Saya berpandangan mereka (sindiket) menggunakan dron rekreasi berikutan peket dadah itu kurang daripada satu kilogram, kelihatan dron (yang dirampas) ini lebih kecil dan ringan, kalau dron jenis komersial lagi berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 7:01 AM