Rafiqah Dahali

with pix

TULAR di laman media sosial, Facebook mengenai gula-gula dikenali sebagai ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut, dijual kepada murid sekolah di Papar.

Rakaman video tular itu turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak mereka membeli gula-gula terbabit yang ditulis Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Mohd Fauzi Sahat pada 10 Julai lalu.

Mohd Fauzi ketika dihubungi hari ini, mengesahkan beliau menulis kenyataan itu dan menyebarkannya dalam kumpulan WhatsApp PIBG SK Pekan Papar sebelum tersebar dalam laman sosial Facebook.

Katanya, pada mulanya beliau hanya mahu berkongsi kesan negatif memakan gula-gula itu dalam kalangan ibu bapa di sekolahnya kerana bimbang mengenai ciri-cirinya yang sama seperti merokok.

“Gula-gula ini menjadi popular dalam kalangan kanak-kanak di sekitar pekan Papar baru-baru ini, malah turut menerima aduan daripada guru SK Pekan Papar mengenai gejala memakan gula-gula itu di sekolah berkenaan.

“Aduan juga dibuat kepada Pegawai Kesihatan Daerah Papar dan tindakan pemeriksaan terhadap premis dan kajian terhadap kandungan gula-gula itu sudah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Papar,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan surat daripada Pejabat Kesihatan Papar, kajian terhadap gula-gula terbabit mendapati ia melanggar peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Makanan 1983 iaitu tidak menyatakan kandungan aditif (bahan tambahan) makanan.

Katanya, tindakan merampas gula-gula terbabit dari premis yang menjualnya juga sudah dilakukan Pejabat Kesihatan.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa supaya lebih peka dan memantau anak-anak mereka supaya tidak membeli gula-gula Ghost Smoke itu.

“Kebanyakan yang membeli gula-gula itu adalah murid darjah lima dan enam. Keadaan ini perlu dipantau kerana kita bimbang ia menjadi ikutan dan memberi kesan negatif kepada murid kita,” katanya.

Difahamkan, selain di daerah ini gula-gula berkenaan juga ada di kawasan lain termasuk di sekitar ibu negeri, kebanyakannya dibawa dari luar sekolah oleh murid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 12:24 PM
VIDEO tular mengenai gula-gula berasap yang dijual kepada murid di Papar.  FOTO Tular Facebook
VIDEO tular mengenai gula-gula berasap yang dijual kepada murid di Papar. FOTO Tular Facebook