GULA-GULA ‘Ghost Smoke’ yang dirampas KPDNHEP di sebuah premis di pekan Mahang. FOTO Ihsan KPDNHEP
GULA-GULA ‘Ghost Smoke’ yang dirampas KPDNHEP di sebuah premis di pekan Mahang. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nor Farhani Che Ad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 108 paket gula-gula ‘Ghost Smoke’ di sebuah premis di Pekan Mahang, Kulim, semalam.

Dalam operasi yang bermula 9.30 pagi itu, empat pegawai melakukan serbuan di beberapa premis runcit dan borong sebelum menemui gula-gula berkenaan di jual secara runcit di sebuah kedai.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah (KPDNHEP), Mohd Fazly Edros berkata, hasil daripada pemeriksaan menemui empat kotak yang menyimpan gula-gula itu di premis terbabit.

“Tindakan menyita dilakukan ke atas empat kotak yang mengandungi 108 paket gula-gula ‘Ghost Smoke’ berkenaan dengan anggaran bernilai RM54.

“Kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Seksyen 5(1) Akta Perihal Dagangan 2011, larangan perihal dagangan palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua barang sitaan disimpan di Pengurusan Stor Ekshibit dan Aset Penguatkuasaan KPDNHEP Kulim untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Fazly memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjual atau menyimpan gula-gula berkenaan.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 dan perlanggaran undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM250,000.

“Jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

GULA-GULA ‘Ghost Smoke’ yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP
GULA-GULA ‘Ghost Smoke’ yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 4:35 PM