HANNAH (tiga dari kanan) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma, hari ini. FOTO MSN
HANNAH (tiga dari kanan) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma, hari ini. FOTO MSN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) secara rasmi bersetuju menawarkan penganjuran 488 acara untuk temasya Sukma XXI Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Jumlah tawaran acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan yang dipertandingkan itu diputuskan dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, setiap acara perlu menyaksikan penyertaan minimum atlet daripada enam negeri untuk ia dipertandingkan.

Temasya Sukma edisi Ke-21 kali ini akan dilangsungkan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching dengan 25 jenis sukan, Samarahan (2), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (1), Sibu (3), Mukah (3), Bintulu (3) dan Miri (6) bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh Sarawak.

Penganjur sudah mengenalpasti lima perkampungan sukan utama bagi menempatkan atlet dari 15 kontinjen bertanding iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Kolej Laila Taib di Sibu, UiTM Kampus Mukah, UPM Kampus Bintulu dan IKBN Miri.

Antara isu lain diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada mesyuarat hari ini adalah sejumlah 108 pertindihan pendaftaran atlet sudah diselesaikan MSN dan Sekretariat Sukma XXI Sarawak 2024 menerusi persetujuan bersama di antara Kontinjen Negeri yang terlibat.

Sekretariat Sarawak juga menetapkan Detik 100 Hari menjelang Sukma XXI Sarawak 2024 akan dilangsungkan pada 9 Mei 2024 dan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 7:46 PM