Gula-gula Ghost Smoke. Foto Arkib NSTP
Gula-gula Ghost Smoke. Foto Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah membuka 12 kertas siasatan susulan rampasan gula-gula Ghost Smoke mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki menjual barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, jika disabitkan dengan kesalahan bagi seksyen itu, denda tidak melebihi RM250,000 bagi satu pertubuhan perbadanan dikenakan, manakala peniaga pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Kami menyedari akan kebimbangan ibu bapa dan kementerian memberi sepenuhnya perhatian berhubung isu ini.

“Gula-gula yang dijual dengan harga 50 sen itu disukai dan dijual secara meluas dalam kalangan pelajar sekolah.

“Bermula 23 Julai lalu, kementerian sudah menggerakkan anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan yang menjual gula-gula tersebut,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, sebanyak 1,762 peket gula-gula Ghost Smoke dirampas KPDNHEP bagi tempoh 23 hingga 31 Julai lalu membabitkan pemeriksaan di 2,401 premis di peringkat pemborong dan peruncit.

Katanya, sekiranya dijumpai mana-mana premis yang menjual gula-gula tersebut di pasaran, ibu bapa dan masyarakat boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317 atau melaporkannya melalui portal iaitu eaduan.kpdnhep.gov.my untuk diambil tindakan sewajarnya.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan menghisap rokok.

Ia mulai tular selepas satu video menunjukkan beberapa murid sekolah rendah di Papar, Sabah menghembuskan asap daripada mulut selepas menjamah gula-gula itu dimuat naik dalam media sosial dan pemeriksaan pihak berkuasa kemudian mendapati ia sudah dijual di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 6:11 PM