LAPORAN portal Harian Metro mengenai isu penjualan gula-gula 'Ghost Smoke'.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai isu penjualan gula-gula 'Ghost Smoke'.
Mohd Hilmie Hussin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum menerima laporan hasil tinjauan berkaitan penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang dilaporkan digunakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya segera bertindak sebaik isu terbabit timbul selaras kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memberitahu, siasatan membabitkan kerjasama kedua-dua kementerian.

“Bagaimanapun, kita perlu pastikan dahulu, setakat mana penjualan ini berleluasa, seluruh negara atau hanya bersifat setempat (di Sabah sahaja).

“Kita akan gunakan ruang kuasa yang ada yang wujud dalam peraturan perintah kawalan harga.

“Dalam peraturan itu, semua pelabelan barangan berbungkus perlu dipatuhi dengan kenyataan isi kandungan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media, selepas melancarkan program ‘Golden Generation Thank You Member Day’ AEON Big di AEON Big Kepong, Kepong, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan AEON Big Malaysia Masayoshi Masuda dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Badrul Hisham Mohd.

SAIFUDDIN (tengah) meninjau harga ayam selepas Majlis Golden Generation Thank You Member’s Day Aeon Big Kepong. FOTO Aswadi Alias
SAIFUDDIN (tengah) meninjau harga ayam selepas Majlis Golden Generation Thank You Member’s Day Aeon Big Kepong. FOTO Aswadi Alias

Saifuddin berkata, penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara juga sudah diarahkan untuk memantau penjualan gula-gula terbabit.

Katanya, sebaik menerima laporan tinjauan, beliau akan segera mengumumkannya.

Sementara itu, beliau menyeru pengusaha pasar raya besar di seluruh negara, menjadikan AEON Big sebagai contoh apabila menyediakan peluang pekerjaan buat golongan berusia 55 tahun ke atas.

“Inisiatif diambil AEON yang membuka peluang pekerjaan kepada warga emas bagi mengisi jawatan tukang masak, pembuat roti dan pembantu jualan, perlu dicontohi pemain industri dalam bidang sama.

“Kita perlu buang tanggapan yang mengatakan usia persaraan sebagai tidak produktif,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, kira-kira 2 juta warga emas di Malaysia dan mereka boleh mendapat manfaat daripada program terbabit selagi mampu bekerja.

Berita berkaitan

Kementerian siasat gula-gula Ghost Smoke

Haramkan jual 'Ghost Smoke' [METRO TV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:59 PM