GULA-gula Ghost Smoke yang dirampas di sebuah premis di Jalan Raja Omar, Sitiawan, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP
GULA-gula Ghost Smoke yang dirampas di sebuah premis di Jalan Raja Omar, Sitiawan, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP
Noor Hidayah Tanzizi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Manjung merampas lapan kotak mengandungi 240 paket gula-gula Ghost Smoke di sebuah premis di Jalan Raja Omar, Sitiawan, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Manjung, Akram Karim Mohamad Arip berkata, dalam operasi pada jam 10.30 pagi itu, pihaknya memeriksa beberapa kedai runcit dan borong di sekitar Sitiawan.

Menurutnya, pihaknya mendapati sebuah premis menjual gula-gula itu secara runcit dan pemeriksaan lanjut menemui lapan kotak mengandungi gula-gula Ghost Smoke

“Kita menemui lapan kotak mengandungi sejumlah 240 paket gula-gula Ghost Smoke yang dianggarkan bernilai RM76.

“Gula-gula itu dipercayai untuk pasaran Sitiawan saja bagaimanapun KPDNHEP Manjung akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembekalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, gula-gula ‘Ghost Smoke’ itu dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(1) Akta Perihal Dagangan 2011, Larangan Perihal Dagangan Palsu.

“KPDNHEP memandang serius terhadap peniaga yang menjual gula-gula Ghost Smoke yang tular baru-baru ini dalam kalangan pelajar sekolah.

“Ia boleh mendedahkan mereka kepada gejala negatif memandangkan gula-gula berkenaan berfungsi seakan-akan rokok,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 7:08 PM