Gula-gula Ghost Smoke yang tular selepas menjadi perhatian kanak-kanak. Foto Arkib NSTP
Gula-gula Ghost Smoke yang tular selepas menjadi perhatian kanak-kanak. Foto Arkib NSTP
Shamsul Kamal Amarudin


SIASATAN dan kajian terhadap isi kandungan sebenar yang terdapat dalam gula-gula berasap atau Ghost Smoke sama ada ia berbahaya kepada penggunanya dijangka dapat diketahui minggu depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan di bawah kementerian itu sudah mengambil sampel dan melakukan ujian serta siasatan terhadap produk berkenaan yang muncul di pasaran baru-baru ini.

“Kita sudah buat siasatan dan ujian dan sampel sudah diambil, minggu depan mungkin dapat buat rumusan mengenai bahan yang terdapat di dalamnya, apa sebenarnya yang berasap dan apa bahan yang digunakan, adakah ia beracun (atau tidak).

“Sekarang belum dapat sebut dengan lebih jelas dan tuntas (mengenai produk berkenaan),” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen COMBI Peringkat Kebangsaan, Hari Denggi ASEAN dan Anugerah Institut Pengajian Tinggi Bebas Denggi di Seri Iskandar, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Ia mulai tular selepas satu video menunjukkan beberapa murid sekolah rendah di Papar, Sabah, menghembuskan asap daripada mulut selepas menjamah gula-gula itu dimuat naik dalam media sosial dan pemeriksaan pihak berkuasa kemudian mendapati ia sudah dijual di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 3:31 PM