Mohd Sabran Md Sani


PEMBORONG makanan ringan di negeri ini kecut perut apabila dikesan menyembunyikan gula-gula Ghost Smoke dari pasaran susulan tindakan agresif pihak berkuasa melakukan pemeriksaan.

Kuasa tular mengenai penjualan produk tidak sihat itu di pasaran tempatan sedikit-sebanyak melumpuhkan rangkaian pemasarannya di negeri ini terutama membabitkan pengguna dalam kalangan pelajar sekolah.

Dalam operasi dua hari membabitkan 200 pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, hanya 150 gula-gula berperisa buah-buahan itu dirampas sejak 23 Julai lalu.

Pengarah KPDNHEP Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, trend menyembunyikan gula-gula Ghost Smoke itu dikesan pihaknya apabila hanya menemui lima kotak makanan ringan itu di sebuah syarikat pemborong di Masai.

“Sejak isu itu ditularkan di media, KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di semua rangkaian perniagaan yang terbabit dengan penjualan makanan ringan di seluruh negeri ini bermula 23 Julai lalu.

“Sehingga hari ini, KPDNHEP sudah menjalankan 132 pemeriksaan di premis berhampiran dengan sekolah,” katanya ketika sidang media di Menara Ansar di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat harga jualan ke peringkat runcit sekitar RM7.50 sekotak.

“Harga jualan yang dijual kepada pelajar sekolah pula adalah 50 sen seunit. Ini bermakna peruncit menikmati keuntungan 25 sen bagi setiap unit yang terjual.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada ibu bapa di negeri ini termasuk alamat berkaitan penjualan gula-gula itu,” katanya.

Namun beliau menggesa mana-mana pihak supaya tampil membuat aduan sekiranya mempunyai maklumat penjualan produk berkenaan.

“Kami percaya produk dari luar negara ini masih berada di pasaran dan akan menggandakan usaha untuk mengesan lebih banyak bekalan gula-gula ini,” katanya.

Beliau berkata, rampasan dan siasatan terhadap gula-gula berkenaan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 kerana mengandungi kandungan, maklumat dan logo halal diragui.

“Jika didapati bersalah, perbadanan atau syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000, manakala bagi individu pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 1:00 PM
Mohd Hairul Anuar (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Johor Zubir Hamsa (kanan) serta pegawainya menunjukkan rampasan gula-gula Ghost Smoke yang dirampas dalam operasi yang dijalankan di sebuah syarikat pemborong makanan ringan di Masai, Johor Bahru. Foto Zain Ahmed
Mohd Hairul Anuar (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Johor Zubir Hamsa (kanan) serta pegawainya menunjukkan rampasan gula-gula Ghost Smoke yang dirampas dalam operasi yang dijalankan di sebuah syarikat pemborong makanan ringan di Masai, Johor Bahru. Foto Zain Ahmed