Zanariah Abd Mutalib


KEMENTERIAN Kesihatan sudah memulakan siasatan dan penguatkuasaan berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan sedang menyiasat perkara itu secara menyeluruh dan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Ia (penjualan gula-gula Ghost Smoke) adalah sesuatu yang mengejutkan dan cara ia dipasarkan, dalam kalangan pelajar sekolah.

“Perkara ini sudah kita perhatikan dan akan mengambil tindakan segera. Kita tidak akan membenarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Neuropsychiatry Masterclass 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr Heric Corray.

DR Dzulkefly (tengah) merasmikan program Neuropsychiatry Masterclass 2019, hari ini. FOTO Rohanis Shukri.
DR Dzulkefly (tengah) merasmikan program Neuropsychiatry Masterclass 2019, hari ini. FOTO Rohanis Shukri.

Semalam media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Mohd Fauzi Sahat berkata, beliau mendapati gula-gula itu dijual secara berleluasa di Papar, Sabah, yang dibeli pelajar sekolah.

Katanya, selain Papar, gula-gula berkenaan juga ada dikatakan dijual secara berleluasa di daerah lain termasuk Kota Kinabalu, kebanyakannya dibawa dari luar sekolah oleh murid.

Ditanya sumber gula-gula berkenaan, Dzulkefly berkata, beliau belum mendapat dan laporan dan akan menyiasat mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:38 AM