CHERY Omoda 5
CHERY Omoda 5
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Chery Auto Malaysia mengenal pasti sebanyak 600 kenderaan model Omoda 5 yang mungkin berpotensi terjejas akibat kerja naiktaraf di fasiliti kemudahan vendor itu.

Pengedar kenderaan itu dalam satu kenyataan berkata, ia berdasarkan maklumat oleh pihak vendor dan analisis terperinci yang dijalankan dalam usaha tanggungjawab syarikat.

"Chery akan menghubungi pelanggan terjejas berdasarkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) untuk pemeriksaan terperinci bagi menyelesaikan isu komponen teknikal berkenaan.

"Pihak kami memberi jaminan kepada pelanggan bahawa tiada kenderaan lain terjejas. Fokus Chery Auto Malaysia sentiasa tertumpu pada keselamatan pelanggan," katanya.

Menurut kenyataan itu, pelanggan Omoda 5 boleh melayari laman sesawang yang akan disediakan untuk mengenalpasti sama ada kenderaan mereka terjejas.

Chery memandang serius terhadap perkara itu dan keselamatan pelanggan adalah keutamaan syarikat.

"Kami amat mengutamakan kepuasan pelanggan. Chery berdedikasi untuk memastikan pihak kami menghasilkan kenderaan terbaik dan memberikan perkhidmatan cekap kepada pelanggan," katanya.

Katanya, sebarang pertanyaan boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan Chery Malaysia di 03-27717070.

Baru-baru ini, seorang pemilik model Omoda 5 mendakwa gandar belakang kereta miliknya patah ketika sedang memandu.

Menurutnya, jalan yang dilalui ketika itu tidak mempunyai sebarang bonggol dan lubang, malah keretanya itu juga tidak pernah terbabit dalam sebarang kemalangan.

Dia juga mendakwa bahawa bahagian yang patah itu hanya mempunyai dua titik kimpalan serta kesan karat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 8:40 PM