MUHAMMAD Adib Mohd Kassim
MUHAMMAD Adib Mohd Kassim
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SEORANG lelaki memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, dia melihat antara lima hingga enam orang seperti memukul seseorang pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Nasaruddin Abdullah, 23, berkata, lelaki terbabit adalah antara 30 orang yang berdiri dalam formasi bulatan mengelilingi seseorang selepas jentera Fire Rescue Team (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) meninggalkan lokasi rusuhan.

Lelaki itu berkata, lima hingga enam individu berkenaan seolah-olah menumbuk ke arah bawah, memijak dan menendang sesuatu sebelum melihat seorang lelaki berseluar bomba.

Saksi ke-17 inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-11 prosiding inkues berkenaan.

HAMDAN: Selepas van (EMRS) berpusing, apa yang kamu nampak?

NASARUDDIN: Selepas pusing, saya nampak 30 orang mengelilingi.... saya tak pasti ada orang atau tak, (mereka) mengelilingi sesuatu dan mereka mencarut dan ... maki dalam bahasa India.

HAMDAN: Tadi kamu nampak dalam 30 orang mengelilingi. Kamu nampak di kawasan mana dan kamu berada di kawasan mana?

NASARUDDIN: Saya memang berada di kawasan itu.

HAMDAN: Apa yang kamu nampak yang 30 orang itu buat?

NASARUDDIN: Saya dengan (kawan) Karthik melihat sahaja.

HAMDAN: Apa kamu nampak?

NASARUDDIN: Saya perhatikan gerak laku 30 orang itu seolah-olah macam memukul seseorang. Selepas itu, saya terdengar ada orang menjerit dalam bahasa India, ‘polis, polis’ dan 30 orang itu berlari dari situ.

Menjawab soalan lain Hamdan, saksi yang tidak bekerja itu berkata, selepas 30 orang itu berlari ke arah kuil, dia kemudian melihat seorang lelaki memakai seluar bomba di lokasi kejadian.

HAMDAN: Kamu kata kamu nampak mereka seolah-oleh memukul. Boleh tunjukkan macam mana?

NASARUDDIN: Macam menendang dan menumbuk tetapi saya tak nampak tengah-tengah itu ada apa-apa. Mereka seperti menumbuk ke arah bawah.

HAMDAN: Kamu nampak tumbuk atau tendang. Adakah semua 30 orang berbuat demikian?

NASARUDDIN: Saya tak nampak 30 orang yang berbuat demikian. Hanya lima atau enam orang... yang lain menjerit dan berdiri mengelilingi dalam formasi itu.

HAMDAN: Kamu kata kamu nampak macam menumbuk?

NASARUDDIN: Saya pasti mereka seolah-olah memukul.

Ditanya Hamdan berapa lama dia melihat kejadian itu, Nasaruddin menjawab: “Antara satu minit. Ia berlaku terlalu pantas.”

Katanya, dia kemudian melihat antara lapan dan 10 orang mengusung lelaki berkenaan sambil ada yang merakam video kejadian.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab, saksi sama berkata, gerak geri 30 lelaku itu seperti menyepak dan memijak sesuatu tetapi tidak pasti apa yang dipijak mereka.

KAMARUZAMAN: Ada kamu dengar suara jerit kesakitan

NASARUDDIN: Tak.

KAMARUZAMAN: Yang 30 orang itu, mereka jerit kuat.

NASARUDDIN: Ya

KAMARUZAMAN: Ada kamu dengar jeritan jangan pukul?

NASARUDDIN: Tak

KAMARUZAMAN: Kamu kata kamu dengar kata-kata berani masuk kuil. Kepada siapa?

NASARUDDIN: Kepada satu orang.

Terdahulu, Nasaruddin berkata, dia pergi ke kuil berkenaan bersama Karthik untuk mengetahui insiden yang berlaku di kuil berkenaan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 1:40 PM