ROFIAH bersama Timbalan Pendakwa Raya, peguam dan tiga saksi pihak berkepentingan bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib melawat BBP Subang Jaya melihat jentera terbabit dalam kejadian rusuhan. (Gambar kecil, Ahmad Shahril) FOTO Sairien Nafis.
ROFIAH bersama Timbalan Pendakwa Raya, peguam dan tiga saksi pihak berkepentingan bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib melawat BBP Subang Jaya melihat jentera terbabit dalam kejadian rusuhan. (Gambar kecil, Ahmad Shahril) FOTO Sairien Nafis.
Syah Rul Aswari Abdullah; Sarah Zulkifli dan Suraya Roslan


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini bahawa dia beranggapan Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik dan dipukul sekumpulan perusuh dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Pendedahan itu dilakukan saksi ketiga, Ahmad Shahril Othman, 36, dalam prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib, masuk hari ke-2 di Mahkamah Koroner, hari ini.

Menurut Ahmad Shahril, dia berasakan perkara itu yang terjadi pada Muhammad Adib kerana berdasarkan keadaan van dinaiki mereka serta jentera Fire Rescue Team (FRT) mengalami rosak teruk berikutan kejadian itu.

Katanya, perilaku perusuh itu berkemungkinan terjadi susulan mereka turut cuba membuka pintu EMRS yang dipandunya dengan tujuan menyerang dan mencederakannya.

“Saya beranggapan jika pintu saya cuba diceroboh oleh perusuh yang membuka pintu saya, mereka bertujuan memukul dan mencederakan saya," katanya ketika disoal Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah.

Terdahulu, Ahmad Shahril membacakan semula laporan polis dibuat oleh penyelianya (Badrul) berhubung kejadian menimpa dirinya dan Muhammad Adib pada malam kekecohan di kuil itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

KEADAAN van bomba terbabit dalam inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib yang kini ditempatkan di BBP Subang Jaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.
KEADAAN van bomba terbabit dalam inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib yang kini ditempatkan di BBP Subang Jaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.

Ahmad Shahril turut memberitahu dia hanya menyedari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dipandunya, mengalami kerosakan teruk apabila berjaya meninggalkan tempat kejadian dan tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Beliau berkata, setibanya di IPD berkenaan, dia turut mendapati seorang anggota bomba lain yang bertugas dengan jentera FRT pada masa kejadian, berada di dalam vannya.

HAMDAN: Sampai di IPD Subang Jaya, apa berlaku?

SHAHRIL: Saya 'park' di pondok pengawal, saya turun, saya pusing belakang, saya nampak kerosakan van EMRS sangat-sangat teruk. Tiba-tiba Azim (Mohd Hazim Mohd Rahimi) turun dari belakang van EMRS pada masa itu.

Saya perasan pintu sisi sebelah kiri tercabut dan tayar belakang kiri pecah dan hanya tinggal rim.

HAMDAN: Apa lagi kamu perasan?

SHAHRIL: Cermin sisi belakang, dekat pintu sisi, pecah. Cermin sisi tercabut.

Menurutnya, selepas tiba di IPD berkenaan, dia menyedari ada beberapa helmet berwarna merah dan kelabu di dalam van berkenaan.

"Saya kemudian tanya Azim, Adib mana? Dalam keadaan cemas, muka pucat, dia jawab dia pun tak tahu.

"Lebih kurang satu minit, jentera FRT pun sampai," katanya.

Saksi sama berkata, dia tidak mengetahui bagaimana dia dapat memandu van berkenaan dalam keadaan ia rosak teruk.

"Keadaan saya panik, saya rasa macam dah nak mati," katanya.

HAMDAN: Sampai di IPD, apa berlaku?

SHAHRIL: (Penyelia) Badrol buat panggilan baris (roll-call) secara tak formal, saya tanya takut-takut Adib ada dalam jentera FRT. Tapi Adib tak ada.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:27 PM