BUT Mohsin memberi kenyataan sebagai saksi awam di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Saddam Yusoff.
BUT Mohsin memberi kenyataan sebagai saksi awam di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Saddam Yusoff.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, bahawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, terjatuh selepas dihimpit kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kereta pada insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman USJ Subang, November tahun lalu.

Juruteknik penyaman udara warganegara Pakistan, But Mohsin, 24, berkata, dia melihat kejadian itu ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) mengundur dan melanggar van EMRS di belakangnya, selepas kenderaan bomba itu secara tiba-tiba diserang sekumpulan orang awam.

“Apabila FRT mengundur, van menghimpit mangsa dengan sebuah kereta.

“Mangsa terjatuh dan terlentang ke arah (stesen minyak) Caltex. Kaki ke arah Caltex,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-13 inkues kematian Muhammad Adib.

Saksi itu kemudian berkata, selepas mangsa terjatuh, dia kemudian melihat sekumpulan orang awam seperti mahu menyerang Muhammad Adib.


HAMDAN: Apa berlaku?

BUT: Pada masa itu, ada satu kumpulan yang macam mahu menyerang Adib. Ada orang yang cuba bantu Adib dari tempat kejadian. Ada orang mengangkat dan membawanya ke Caltex.

HAMDAN: Pada masa itu, kamu boleh camkan muka anggota yang terhimpit dan terjatuh?

BUT: Saya tak berapa cam.

HAMDAN: Kamu kata Adib, Adib. Mana kamu tahu orang itu Adib?

BUT: Saya tahu daripada berita.

HAMDAN: Kemudianlah, lepas kejadian. Kamu tahu?

BUT: Ya, lepas itu baru saya dapat tahu.

HAMDAN: Jadi, apabila kamu lihat orang awam bawa dia ke arah Caltex. Kamu nampak ke arah mana?

BUT: Saya tanya, tahu dia menuju ke arah Caltex. Tapi, lepas itu, saya tak tahu.


Terdahulu, But yang sudah empat tahun bekerja di negara ini berkata, dia melihat FRT diikuti van EMRS tiba di lokasi rusuhan bagi memadamkan kebakaran kereta.

Katanya, sebaik tiba, dua anggota turun dari FRT dan Muhammad Adib dilihat keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS.

Bagaimanapun, mereka melihat sekumpulan orang awam meluru ke arah kenderaan bomba menyebabkan salah seorang anggota FRT kembali menaiki jentera berkenaan.

Pada masa sama katanya, seorang lagi anggota FRT membuka pintu sisi van EMRS dan menutupnya, dalam usaha untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, Muhammad Adib yang ketika itu turut berada di luar kenderaannya bagaimanapun tidak sempat memasuki semula van EMRS.

“Dia tengok (menghala) ke arah Caltex. Secara pantas, dia nak larikan diri. Kedudukan dia masih berada di sebelah kiri tayar belakang van EMRS, ” katanya.

Katanya, mangsa kemudian ‘tersentuh’ dengan van tetapi kemudian terjatuh selepas dihimpit van EMRS dan sebuah kenderaan, yang menjadi beberapa kenderaan yang diparkir di kiri dan kanan jalan berkenaan.

Menurutnya, ketika itu, jentera FRT mengundur dan melanggar van di belakangnya, sebelum melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di kiri dan kanan jalan serta meninggalkan lokasi kejadian.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 5:31 PM