NARRESH hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib. FOTO Zulfadhli Zulkifli
NARRESH hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, dia melihat kesan tapak kasut pada tubuh anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

R Narresh, 30, kru teknikal berkata, dia melihat keadaan itu secara dekat ketika dia dan mangsa berada di dalam bucket (bahagian belakang) sebuah Mitsubishi Storm dipandu seorang lelaki yang bersetuju untuk membantu membawa anggota bomba itu ke hospital.

Saksi yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu berkata, dia melihat rusuk kanan Muhammad Adib sudah lebam dan kemerah-merahan.

Ketika itu katanya, mangsa sudah tidak memakai baju dan dia menggunakan baju-T, baju celoreng dan tali pinggang Muhammad Adib untuk melapik bahagian kepala mangsa.

Dia bercakap demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari keenam inkues kematian Muhammad Adib.

HAMDAN: Semasa dalam ‘bucket’ ada kamu periksa keadaan dia?

NARRESH: Ya

HAMDAN: Apa kamu lihat?

NARRESH: Mula-mula, dia macam sesak nafas. Mata tertutup. Dia tak boleh bagi tindak balas dan bercakap.

HAMDAN: Apa kamu nampak pada bahagian muka dan badan dia?

NARRESH: Dia berkulit putih. Rusuk kanan dia lebam dan kemerah-merahan. Tangan tak ada apa-apa.

HAMDAN: Apa lagi yang kamu nampak?

NARRESH: Saya sedia untuk lap jika pendarahan di badan dia. Saya tengok dekat rusuk kanan dan ada kesan pasir dan kesan tapak kasut.

HAMDAN: Ada berapa kesan tapak kasut?

NARRESH: Satu saja.

Menjawab soalan Hamdan bagaimana dia pasti bahawa kesan pada rusuk kanan Muhammad Adib adalah kesan tapak kasut, saksi itu berkata, dia pasti kerana mangsa tidak terjatuh ketika diusung oleh sekumpulan lelaki ke Mitsubishi Storm berkenaan.

Selain itu katanya, garisan di bahagian bucket itu juga lebih besar tetapi garisan pada rusuk mangsa adalah kira-kira sejengkal.

Narresh berkata, sepanjang perjalanan ke hospital, dia melihat keadaan mangsa seperti dalam keadaan menahan kesakitan yang amat sangat.

“Saya periksa poket lelaki itu sama ada dompet atau telefon bimbit. Dia ada telefon bimbit dan ia sedang berdering. Kali pertama, saya tak angkat, kali kedua tak angkat... ketiga, baru saya angkat dan jawab.

“Saya beritahu, bang, you punya kawan cedera, sekarang ke SJMC (Subang Jaya Medical Centre). Bang, tolong datang ke SJMC. Kemudian, saya matikan telefon bimbit,” katanya.

HAMDAN: Kemudian?

NARRESH: Saya terus cakap kepada dia walaupun dia tak sedar. Saya cakap pada dia ‘be strong, ada orang tunggu kamu di hospital’. ‘You are going to be fine. You’re going to be in hospital soon’. Kemudian, kami sampai di hospital.

HAMDAN: Sepanjang masa sehingga sampai ke hospital. Ada tak pada bila-bila masa dia bagi tindak balas.

NARRESH: Tak ada apa-apa. Cuma nafas, dia turun naik.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Insitut Jantung Negara (IJN).

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 1:24 PM