MOHD Hazim hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Sairien Nafis.
MOHD Hazim hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Sairien Nafis.
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


SEORANG anggota bomba memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa dia tidak nampak kelibat Muhammad Adib Mohd Kassim turun dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) ketika rusuhan berlaku berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, 27 November tahun lalu.

Saksi keenam, Mohd Hazim Mohd Rahimi, 31, berkata sebaik sampai di tempat kejadian, dia yang menaiki jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT) terus turun dan mahu pergi ke arah kereta terbakar.

Bagaimanapun, dia berpusing balik dan melarikan diri apabila melihat ada seorang lelaki berbadan gempal memakai baju berwarna terang sedang berlari menuju ke arahnya dan sekumpulan perusuh bersenjatakan seperti pedang samurai dan tiang gelanggang sepak takraw menyerang FRT.

“Saya tidak sempat masuk ke dalam FRT dan paling dekat ketika itu saya masuk ke dalam ERMS melalui pintu sisi.

“Bila masuk ke dalam van, saya terus berbaring di atas pengusung dan dapat merasakan van ditolak dan diketuk orang orang ramai di sekelilingnya. Van bergoyang ketika itu.

“Ketika itu pintu van dalam keadaan tertutup, apabila van berpusing dan senget barulah pintu tercabut dan ada orang membaling topi keledar dan saya lihat mereka masih mengejar kami.

“Apabila van sudah bergerak laju barulah mereka berhenti,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali dan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah.

HAMDAN: Sepanjang masa itu ketika kamu masuk ke dalam ERMS, ada kamu nampak Muhammad Adib turun?

MOHD HAZIM: Saya tidak nampak.

HAMDAN: Selepas itu apa yang berlaku?

MOHD HAZIM: Van dipandu oleh Ahmad Shahril Othman ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya, dan sebaik sampai dan membuat panggilan baris, barulah mereka tahu Muhammad Adib tiada. Ahmad Shahril terkejut Muhammad Adib tiada.

Sementara itu menjawab soalan peguam Yahaya Othman yang mewakili keluarga Muhammad Adib, dia mengakui tidak berkomunikasi dengan Ahmad Shahril yang memandu ERMS ketika itu, sebaliknya berdiam diri dan menyorok di dalam van.

YAHAYA: Apabila awak masuk bersembunyi di dalam ERMS ada dengar orang cuba buka pintu van?

MOHD HAZIM: Saya tidak tahu apa yang terjadi di luar.

YAHAYA: Kamu tidak berkomunikasi dengan orang di depan van? Kamu senyap-senyap sahaja masuk?

MOHD HAZIM: Ya. Dalam van tu ada halangan antara tempat pemandu dan bahagian belakang. Jika berada di belakang kami hanya boleh melihat siapa duduk di hadapan dengan mengintai melalui tingkap kecil sebesar saiz A4 itu sahaja. Ketika itu keadaan kelam kabut, saya tidak menjenguk melalui tingkap itu.

YAHAYA: Adakah benar kamu tidak menerima arahan Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba Subang Jaya, Badrul Hisyam Salim @ Ali untuk tidak turun daripada FRT ketika itu?

MOHD HAZIM: Kebiasaannya tidak perlu bagi arahan, apabila ada kebakaran sebaik tiba tempat kejadian, kami masing-masing tahu apa perlu dilakukan. Bagaimanapun jika ia membabitkan tugasan rumit dan ada pembahagian tugas, kami akan tunggu arahan.

YAHAYA: Berhubung panggilan telefon terhadap Muhammad Adib, ada orang awam maklumkan kenapa mereka bawanya ke hospital?

MOHD HAZIM: Tiada.

Menjawab soalan peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman Abdul Wahab pula, Mohd Hazim sekali lagi menegaskan bahawa dia tidak nampak kelibat arwah di tempat kejadian.

KAMARUZAMAN: Ketika van mengundur dan berpusing, ada nampak pintu di tempat Muhammad Adib terbuka?

MOHD HAZIM: Tidak nampak.

KAMARUZAMAN: Ada kamu nampak Muhammad Adib di luar?

MOHD HAZIM: Saya tidak nampak. Saya mesti nampak kalau dia keluar sebab kami pakai seluar celoreng iaitu pakaian seragam sama.

KAMARUZAMAN: Rasa paling kuat van digoncang pada masa bila?

MOHD HAZIM: Paling kuat digoncang ketika van dalam keadaan senget.

KAMARUZAMAN: Ada rasa van bergesel dengan kenderaan di tepi jalan ketika itu?

MOHD HAZIM: Tidak rasa.

KAMARUZAMAN: Jarak masa selepas kamu naik dan kemudian van berpusing?

MOHD HAZIM: Terlalu cepat antara sembilan hingga 10 saat saja.

KAMARUZAMAN: Bila kamu perasan pintu van tercabut?

MOHD HAZIM: Ketika van mula bergerak selepas mengundur baru saya perasan ia tercabut dan jatuh.

KAMARUZAMAN: Ketika kamu masuk adakah kamu tutup rapat?

MOHD HAZIM: Saya rasa rapat sebab jika tidak rapat lampu di dalam van akan menyala.

KAMARUZAMAN: Kenapa ketika kejadian kamu tidak lari masuk ke FRT semula?

MOHD HAZIM: Itu yang paling dekat dan selamat.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 4:13 PM