ANTARA artis bollywood yang mengalami kemurungan (dari kiri) Deepika Padukone, Anushka Sharma, Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan. FOTO/ AGENSI
ANTARA artis bollywood yang mengalami kemurungan (dari kiri) Deepika Padukone, Anushka Sharma, Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan. FOTO/ AGENSI
Susunan Najiy Jefri

Tidak ramai selebriti yang berani tampil untuk berkongsi masalah kesihatan yang dihidapi. Bagaimanapun, ketika aktres jelita Deepika Padukone membuat pengakuan terbuka mengenai penyakit kemurungan atau tekanan melampau yang dihidapinya, ramai selebriti Bollywood berkongsi masalah sama.

Hanya kerana orang itu tersenyum di wajahnya tidak bermakna dia tidak mempunyai masalah. Selebriti juga seperti orang biasa yang mempunyai masalah dan kelemahan.

Ramai orang yang berjaya, mempunyai keluarga bahagia dan hidup mewah tidak terkecuali dihantui perasaan kecewa serta menderita.

Mengikut anggaran World Health Organization antara 2005 hingga 2015, terdapat peningkatan 18 peratus individu yang mengalami tekanan iaitu kira-kira 300 juta orang. Ia satu angka yang besar dan perlu diberi perhatian.

Bling! minggu ini menyenaraikan artis Bollywood yang pernah dan sedang berdepan isu berkaitan tekanan dan stres melampau.

Amitabh Bachchan

Legenda Bollywood, Amitabh Bachchan antara individu yang pernah menjadi mangsa tekanan perasan. Pada 1996 Amitabh pernah menubuhkan sebuah syarikat produksi ABCL, namun filem yang diterbitkan tidak membawa keuntungan hingga beliau terpaksa menanggung kerugian dan jatuh muflis. Ketika itu, aktor yang terkenal menerusi filem Kabhi Khushi Kabhie Gham itu mengharungi satu fasa yang sangat getir dalam hidupnya hingga mengalami depresi. Bagaimanapun, Amitabh kembali bangkit dan membina nama sebagai pelakon dikagumi ramai.

Sanjay Dutt

Barangkali nama aktor Sanjay Dutt lebih banyak berdepan ujian hidup berbanding selebriti Bollywood lain. Selepas ibu dan isterinya disahkan menghidap kanser, namanya terpalit dengan satu kes jenayah iaitu memiliki senjata dibekalkan kumpulan penjenayah yang mendalangi siri letupan bom di bandar raya Mumbai pada 1993. Sanjay mendedahkan selama empat tahun meringkuk dalam penjara, dia mengalami kemurungan dan sukar tidur malam.

Manisha Koirala

Bukan saja berjuang melawan penyakit kanser ovari, aktres Manisha Koirala turut menderita tekanan melampau. Menerusi status Facebooknya, Manisha mengharapkan kehidupan baru supaya dia dapat menjalani hari-hari dengan tenang dan mengisi masa dengan perkara berfaedah.

Shah Rukh Khan

Pasti ramai tahu mengenai berita aktor Shah Rukh Khan (SRK) menjalani pembedahan di bahu kanan pada 2009 akibat mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran filem Dulha Mil Gaya. Dunia Shah Rukh Khan bagaikan gelap apabila dia mengalami tekanan perasaan namun berjaya keluar daripada keadaan itu.

“Saya rasa gembira apabila ramai yang mendoakan dan memberi nasihat sehingga boleh menerima keadaan itu secara positif,” Katanya.

Hrithik Roshan

Pelakon Hrithik Roshan mahu orang ramai sedar tekanan melampau tidak sepatutnya diambil mudah sebaliknya masyarakat perlu sama-sama membantu menanganinya.

“Saya sudah melalui pasang surut dalam hidup. Saya pernah mengalami kemurungan dan tekanan, namun ia perkara biasa untuk semua orang,” katanya.

Ranveer Singh

Pelakon Padmaavat, Ranveer Singh turut berdepan masalah kemurungan. Dalam satu temu bual Ranveer pernah mendedahkan rakan baiknya pernah membunuh diri akibat tekanan perasaan hingga memberi impak kepada dirinya yang sudah lama menderita penyakit itu.

Bagi yang rapat dengan pelakon itu, Ranveer juga pernah mendapatkan rawatan hospital buat seketika bagi memastikan dirinya normal dan tidak melakukan perkara di luar jangkaan.

Deepika Padukone

Anugerah kecantikan yang dimiliki tidak menjamin seseorang wanita sempurna di mata orang ramai. Aktres Deepika Padukone mendedahkan dirinya pernah mengalami fasa kemurungan dan tekanan yang melampau hingga dia nekad menumbuhkan sebuah pusat kesihatan mental untuk membantu orang ramai yang mengalami masalah serupa.

“Pada mulanya saya fikir hanya mengalami tekanan biasa jadi saya cuba alihkan perhatian dengan fokus kepada kerja dan meluangkan masa bersama teman rapat. Malangnya gangguan itu tidak hilang. Saya juga mengalami kesukaran bernafas selain gagal menumpukan perhatian,” katanya dalam satu temu bual.

Anushka Sharma

Tanpa rasa takut dan malu, aktres Anushka Sharma memberitahu peminatnya dia mengalami masalah gangguan kebimbangan. Dia kini masih mendapatkan rawatan di hospital bagi memastikan dirinya stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 9:07 AM