Selepas kemunculan Priyanka Chopra dalam drama bersiri Hollywood, Quantico mendapat perhatian luar biasa daripada peminatnya, seorang lagi aktres Bollywood bakal mengikut jejak seniornya itu untuk turut mencuba nasib di Hollywood.

Siapa lagi kalau bukan si jelita, Deepika Padukone yang kini sudah menempa nama di Bollywood sehinggakan aktor lagenda Amitabh Bachchan juga meminatinya.

Deepika pernah mendapat tawaran untuk muncul dalam filem Fast and Furious 7, bagaimanapun dia terpaksa menolaknya kerana ketika itu sibuk mempromosikan filem Ram Leela.

Kata aktres itu, sekarang dia sudah bersedia untuk ‘pergi’ ke Hollywood.

“Saya sudah bersedia untuk mencuba nasib di Hollywood dan jika ada tawaran yang benar-benar menarik, pasti saya tidak akan menolaknya lagi,” katanya.

Pada masa sama, meskipun dia kini bintang paling popular di Bollywood, dia tetap seperti dulu.

“Tiada apa yang berubah, saya masih lagi ke dapur untuk memasak dan bertuahnya saya kerana ibu sentiasa menyokong segala impian saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 7:28 AM