NURUL Ain bersama sebahagian daripada kucing di bawah jagaannya. -Foto SUPIAN AHMAD
NURUL Ain bersama sebahagian daripada kucing di bawah jagaannya. -Foto SUPIAN AHMAD
Redzuan Muharam


SHAH ALAM: “Saya anggap kucing peliharaan ini amanah Allah SWT dan akan berusaha menjaga dengan sebaik mungkin walaupun perlu berkorban masa, wang dan tenaga,” kata pemilik pusat jagaan dan perlindungan kucing S.I Home Shelter, Nurul Ain Abdul Hamid, 26.

Ibu seorang cahaya mata berumur dua tahun itu berkata, keinginannya menyelamat kucing terbiar termasuk yang mengalami kecacatan dan kecederaan akibat penyakit serta kemalangan itu didorong oleh rasa simpati terhadap nasib haiwan berkenaan.

Dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu empat pekerja dan suaminya, Muhamad Razeef Che Shamah, 38, yang juga aktif dalam menjadi penyelamat kucing.

Katanya, sehingga kini sebanyak 400 kucing sudah diselamatkan dan sebahagiannya ditempatkan di pusat jagaan dan perlindungan kucing kepunyaannya di Taman Sri Muda, di sini, sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, kira-kira 30 kucing kategori istimewa seperti lumpuh, buta dan mengalami kecederaan akibat jangkitan kuman dan lain-lain penyakit ditempatkan di rumahnya untuk pemantauan rapi.

“Sejak kecil lagi, arwah ayah, Abdul Hamid Ahmad sudah mendidik saya dan adik-beradik untuk menyayangi haiwan.

“Cuma dulu saya sekadar suka tetapi tidak sampai ke tahap menyelamat atau memelihara dalam jumlah yang banyak.

“Namun segalanya berubah selepas saya menyaksikan sendiri seekor kucing dilanggar kereta hingga mengalami kecederaan teruk pada bahagian kaki.

“Melihat keadaannya, timbul keinginan untuk membantu hingga saya nekad menghantarnya mendapatkan rawatan di klinik veterinar walaupun terpaksa meminta wang daripada ibu, Sofia Baharuddin ketika itu,” katanya.

Nurul Ain berkata, memandangkan masih menetap di asrama ketika itu, dia terpaksa mencari individu yang boleh memelihara haiwan terbabit dengan membuat hebahan di laman sosial.

Menurutnya, perkongsian itu mendapat maklum balas daripada Muhammad Razeef (kini suaminya) yang menawarkan diri untuk mengambil kucing berkenaan dan bermula detik itu, hubungan mereka menjadi rapat sebelum mendirikan rumah tangga pada 2014.

“Kebetulan saya dan suami pencinta kucing, jadi persamaan itu menjadikan kami berdua serasi bersama.

“Malah sebelum berkahwin lagi, saya sering mengikutnya ke pusat kurungan haiwan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengambil kucing di situ terutama yang memerlukan penjagaan rapi.

“Dulu rutin itu dilakukan hampir setiap minggu tetapi tidak diteruskan kerana tiada lagi ruang tersedia memandangkan ketiga-tiga tingkat di premis kami sudah dipenuhi kucing sedia ada,” katanya.

Nurul Ain berkata, sebanyak RM15,000 diperuntukkan untuk menguruskan kucing di bawah jagaannya dan ia merangkumi kos sewa bulanan premis, bil utiliti, makanan, perubatan dan gaji pekerja.

Katanya, dia dan suami tidak menanggung kos itu sepenuhnya sebaliknya mendapat bantuan orang ramai selain sebuah syarikat pengeluar makanan kucing yang menaja 80 kilogram makanan setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat lari daripada cemuhan segelintir individu yang menuduhnya dan suami tidak bekerja serta bergantung hidup dengan sumbangan daripada penderma.

“Ikutkan jumlah perbelanjaan bulanan itu agak besar tetapi niat kami untuk membantu kucing dipermudahkan apabila ramai yang tampil menghulurkan sumbangan.

“Namun saya dan suami tidak boleh mengharapkan sepenuhnya sumbangan orang ramai kerana kami tetap berusaha mencari wang sendiri bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Itulah cabarannya namun kepuasannya apabila dapat melihat kucing yang dulunya sakit kembali sihat dan jika ada rezeki, saya berhasrat membeli tanah lot untuk membangunkan pusat jagaan dan perlindungan di tapak sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 8:17 AM