KIRA-kira 300 kucing jalanan ditempatkan di rumah perlindungan haiwan SI Shelter.
KIRA-kira 300 kucing jalanan ditempatkan di rumah perlindungan haiwan SI Shelter.
NURUL Ain bersama kucing jalanan yang dilindungi ketika ditemui di Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO AIZUDDIN SAAD
NURUL Ain bersama kucing jalanan yang dilindungi ketika ditemui di Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO AIZUDDIN SAAD
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Shah Alam: Wanita ini tidak betah melihat haiwan jalanan ditemuinya sakit dan cedera sehingga nekad membawa haiwan itu dirawat di klinik haiwan biarpun terpaksa menebalkan muka meminta dana perubatan di media sosial.

Situasi itu juga menyebabkan Nurul Ain Abdul Hamid, 31, giat memberi kesedaran kempen menjaga kebajikan haiwan jalanan terutama kucing dan anjing, sekali gus mengurangkan populasi lambakan haiwan itu di jalanan.

Ibu seorang anak lelaki itu berkata, atas dasar prihatin dia nekad menghantar kucing jalanan yang ditemui sakit atau cedera teruk ke rumah perlindungan haiwan miliknya, SI Shelter di sini.

Menurutnya, rumah perlindungan dibuka sejak 2008, menempatkan lebih 300 kucing pelbagai baka termasuk baka campuran yang semuanya diselamatkan di jalanan kerana matlamatnya menyelamatkan kucing jalanan yang sakit kritikal dan memerlukan penjagaan rapi.

"Saya tidak ambil kucing yang sihat, hanya kucing sakit saja akan dibawa pulang dan semua kucing akan dimandulkan dan vaksin. Saya akan mencari keluarga angkat supaya kucing ini mendapat kehidupan lebih baik," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan kucing baka luar lebih comel dan menarik kerana memiliki bulu cantik, gebu dan panjang.

"Namun stigma itu perlu dibetulkan. Kerana itu saya menekankan kempen 'adopt, don't shop' supaya kucing jalanan berpeluang mempunyai penjaga dan rumah untuk berlindung.

"Saya juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak memilih kucing yang berbaka saja," katanya.

Nurul Ain berkata, lebih menyedihkan hati apabila melihat kucing berbaka juga dibuang di jalanan apabila haiwan itu sudah tua, sakit atau tidak comel seperti sebelum ini.

"Agama mengajar kita berbuat baik bukan saja kepada manusia, tetapi makhluk lain termasuk haiwan. Jadi sewajarnya kita menghargai dan menjaga kucing terutama yang dipelihara dengan baik," katanya yang bekerja sebagai kerani.

Menurut Nurul Ain, rumah perlindungannya bersedia menerima individu yang mahu mengambil kucing untuk dibela, malah tidak mengenakan sebarang bayaran asalkan pemilik baharu itu berjanji menjaga haiwan itu dengan baik dan penuh kasih sayang.

"Saya sudah anggap semua kucing di rumah pelindungan seperti anak sendiri dan mahu mereka dapat kasih sayang. Saya memang pencinta kucing dan tidak sanggup melihat kucing jalanan tidak berdaya kerana sakit dan cedera.

"Saya tebalkan muka buka dana perubatan mengikut kes kucing di Instagram dan Alhamdulillah ada yang membantu. Saya akui memang kewangan menjadi cabaran utama, malah ada yang pernah cakap kenapa saya ambil haiwan itu sedangkan tahu saya tidak mampu.

"Ada juga yang cakap saya gunakan kucing untuk kutip dana, tetapi saya abaikan saja. Biasanya saya akan minta dana jika berdepan kes haiwan yang sakit atau cedera kritikal tidak dijangka," katanya memerlukan lebih RM20,000 sebulan termasuk kos sewa premis, gaji pekerja, 450 kilogram (kg) makanan kucing dan utiliti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 8:00 AM