TASH YONG
TASH YONG
Norhayati Nordin


LUMRAH hidup manusia pasti akan diuji dengan dugaan. Meskipun, penjelasan sudah diberi, ada kalanya belum mampu menjernihkan keadaan.

Itulah yang dilalui pelakon cantik Tash Yong, 28 apabila dikatakan meletakkan bayaran tinggi.

Dalam sesi fotografi baru-baru ini, Tash berkata dia terkilan dengan isu itu yang sehingga kini masih hangat diperkatakan.

Ujar anak sulung komposer Rosli Selasih itu, kalau diukur populariti, namanya masih jauh untuk sampai ke tahap itu dan perlu melipatgandakan usaha.

“Takkanlah pelakon yang belum cukup dikenali seperti saya dengan sewenang-wenangnya nak letak harga bayaran lakonan tinggi?

“Memang tak logik langsung kerana saya sedar diri dan ruang. Sebagai pelakon yang perlu berusaha gigih untuk menempa nama, siapa saya untuk bertindak sedemikian?

“Apatah lagi, industri hiburan tanah air tidak besar mana dan bakat baru pula muncul bersilih ganti. Jadi, bukan mudah untuk saya dapat peluang beraksi dalam sesebuah naskhah,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli itu berkata dia yang tidak menggunakan khidmat mana-mana syarikat pengurusan tidak akan sesekali menabur pasir dalam periuk nasi sendiri.

Menurut Tash, dia sangat menghormati dan menyayangi karier seni yang diceburi sejak enam tahun lalu. Mana mungkin dia akan melakukan perkara yang akan ‘membunuh’ masa depannya dalam bidang itu.

Tidak gentar berdepan saingan, Tash berkata dia sentiasa yakin dengan rezeki tetapi kecewa apabila ada pihak seakan-akan sengaja memburukkan nama dan mencari kesilapannya.

“Nama dan bakat saya belum berada di tahap stabil. Oleh itu, bayaran yang saya dapat sekarang setimpal dengan kerja saya.

ADAM menerima bendera bersempena dengan perlumbaan terakhir beliau di Perlumbaan Moto3 pada MotoGP 2018 di Litar Sepang. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
ADAM menerima bendera bersempena dengan perlumbaan terakhir beliau di Perlumbaan Moto3 pada MotoGP 2018 di Litar Sepang. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

“Cuma, apabila ada pihak cuba mengaitkan saya dengan isu ini saya rasa sangat kesal.

“Saya perlu beri penjelasan kepada pihak produksi yang bertanyakan bayaran sebenar jika ditawarkan berlakon. Walaupun banyak kali ditanya berikutan mereka keliru apabila mendengar isu ini, saya tetap jawab. Ia penting kerana saya perlu jelaskan perkara sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut perkembangan terkini kariernya, Tash berkata dia baru saja selesai penggambaran filem Hero arahan Azizi Chuck Adnan yang mengangkat kisah pasukan bomba.

Selain itu, Tash juga terbabit penggambaran drama Arjuna Cinta Keisha sebanyak 20 episod untuk RTM dengan memegang watak antagonis sebagai Tengku Shakira.

Tidak cerewet dalam memilih watak, Tash berkata dia sentiasa bersedia melakonkan apa sahaja karakter dirasakan sesuai dengan dirinya.

Seronok jadi Suraya

Ramah berbicara dan mesra orangnya membuatkan Tash Yong mudah disenangi ramai.

Tidak hairanlah apabila lakonannya sebagai anggota bomba wanita bernama Suraya cukup menarik perhatian.

Mengulas watak Suraya, pelakon drama Menantu Ting Tong dan Dia di TV3 itu berkata dia bertuah diberikan kepercayaan menjadi sebahagian daripada produksi Hero.

“Sejak saya terbabit dalam penggambaran

filem ini, saya lebih menghormati kerjaya bomba yang sangat mencabar.

“Betapa besar pengorbanan anggota bomba dalam membantu menyelamat mangsa kebakaran, kemalangan dan sebagainya.

“Terus terang, sepanjang penggambaran barisan pelakon dan anggota bomba rapat bagaikan satu keluarga besar. Banyak yang saya belajar daripada anggota bomba,” katanya.

Tash turut menzahirkan rasa sedih dengan tragedi menyayat hati enam anggota bomba yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja jatuh lombong di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Ujarnya, pengorbanan besar mereka sehingga meragut nyawa itu sudah pasti akan diingati selamanya oleh rakyat Malaysia.

Selain Tash, filem Hero turut dibintangi Hisyam Hamid, Syafiq Farhain, Mark Adam, Elisya Sandha dan Bell Ngasri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:14 AM