YAKIN pada hikmah, Tash makin selesa berhijab.
YAKIN pada hikmah, Tash makin selesa berhijab.
Norhayati Nordin


PENGALAMAN hidup yang berhadapan pelbagai cabaran cukup mematangkan. Namun, yang pasti dan paling utama adalah rasa syukur di dalam hati.

Bagi pelakon Tash Yong, 30, setiap hari dilaluinya kini dengan semangat kental dan fikiran yang positif untuk terus berusaha mencapai impian.

Ditambah dengan penghijrahan dilakukan pada tahun ini apabila akhirnya berhijab sekitar September lalu, Bagi Tash, sudah tiba masanya dia berubah ke arah lebih baik untuk diri sendiri.

"Setiap hari berlalu cukup pantas. Kadangkala tidak terasa dan esoknya hari baharu sudah menjelma. Bagi saya, perubahan pada diri sendiri kita yang tentukan dan perlu berpegang teguh dengan niat.

"Kalau cakap nak berubah, tapi tak buat pasti akan tertangguh juga. Saya pernah berada dalam keadaan ini dan ia tidak ke mana pun. Namun, alhamdulillah Allah SWT sudah berikan saya kekuatan hati.

"Sekarang, saya selesa berhijab dan rezeki berlakon tetap ada. Untuk saya, minat pada bidang seni tidak berubah, tetapi lebih menjaga batas diri. Malah, perkara dahulu, biarlah berlalu," katanya.

Banyak membuat perkongsian positif di media sosial, Tash atau nama sebenarnya Nur Natasha Shazlia Rosli berkata dia sentiasa mengingatkan diri sendiri mengenai kebaikan adalah perkara yang wajar dilakukan.

"Saya suka mengajak pengikut di media sosial memulakan hari baharu dengan senyuman dan perasaan kesyukuran di samping terus berdoa kepada Allah memohon perlindungan serta keberkatan.

"Malah, saya juga doakan semoga kita semua dipermudahkan segala urusan dan diberi kelapangan hati sepanjang hari. Semoga kita gembira dan menjadi hari terbaik dan menceriakan," katanya.

TASH Yong bersyukur dengan apa yang diberikan Allah.
TASH Yong bersyukur dengan apa yang diberikan Allah.

Menurut Tash, segala dugaan yang datang ada hikmahnya. Katanya, tidak perlu terus menyalahkan takdir kerana mana tahu apa yang berlaku itu akan membawa perubahan kebaikan.

"Setiap kisah kita ada pengajaran dan manisnya. Allah izinkan sesuatu itu bersebab, mungkin sekarang kita tak nampak. Namun, percayalah pasti ada yang baik kemudian hari.

"Apa-apa pun, untuk saya sendiri masih banyak yang perlu belajar. Namun, saya memilih untuk sentiasa positif kerana ia sangat menenangkan. Saya jadi sentiasa bersemangat untuk perbaiki diri," katanya.

Tash pernah dikenali menerusi drama Menantu Ting Tong di TV3 bersama Ruhainies, Azrel Ismail dan Ben Amir, akan muncul dengan drama terbaharu berjudul Mak Abang Nak Kahwin arahan Rahila Ali untuk tayangan TV AlHijrah.

Selain itu, pada Februari lalu Tash tampil dengan lagu solo pertama berjudul Lepas ciptaan Zah Amirul. Tash mewarisi bakat seni daripada bapanya, Rosli Selasih yang juga seorang pengarah muzik dan komposer berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 6:20 AM