TASH Yong akan keluarkan single sulung yang kini sudah 90 peratus siap. FOTO Mahzir Mat Isa
TASH Yong akan keluarkan single sulung yang kini sudah 90 peratus siap. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Tash Yong, 29, akan muncul dengan single pertamanya menjelang bulan depan selepas enam tahun beraksi sebagai pelakon dalam industri seni tanah air.

Tash atau nama sebenarnya Nur Natasha Shazlia Rosli ketika ditemui berkata, itu adalah satu cara untuknya mencari kelainan di samping mencabar kemampuan dirinya.

"Insya-Allah, menjelang September ini, saya akan keluarkan single sulung yang kini sudah 90 peratus siap. Judulnya belum ada, tapi akan diumumkan ketika majlis pelancaran nanti.

"Menyanyi bukanlah minat utama saya kalau dibandingkan dengan lakonan. Namun, saya nak cabar kemampuan diri dalam bidang muzik pula," katanya kepada Harian Metro.

Menurut anak kepada komposer ternama, Rosli Selasih itu lagi, dia sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan kritikan daripada warganet.

"Saya dah siapkan mental dan fizikal sebelum buat keputusan untuk muncul dengan single pertama ini kerana dah tahu, kebarangkalian untuk dikecam warganet, ada.

"Jadi, saya nak cuba nasib dalam bidang muzik pula kerana kalau tak cuba, kita tak akan tahu bagaimana hasilnya. Insya-Allah, single yang belum ada judul ini akan dijadikan OST untuk karya lakonan saya," katanya.

Ditanya sama ada dia menerima nasihat daripada ayahnya, Tash berkata, lelaki itu adalah penasihat utamanya dalam muzik.

"Ada lagu yang saya terima, namun menurut ayah, kurang sesuai. Jadi, selepas beberapa proses pemilihan dan ayah pun bersetuju, saya terima lagu untuk dijadikan single pertama," katanya.

Terbaru, Tash kini sedang giat mempromosikan filem terbaru lakonannya, Hero: Jangan Bikin Panas yang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 3 Oktober depan.

Selain Tash, filem itu juga membariskan beberapa pelakon lain antaranya Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 6:59 PM