HISYAM, Mark dan  Bell berikan lakonan mantap.
HISYAM, Mark dan Bell berikan lakonan mantap.
Ridzuan Abdul Rahman

Melihatkan pada judulnya, kita sudah dapat membayangkan filem Hero The Movie menggambarkan kisah wira yang menyumbang bakti kepada masyarakat.

Dalam filem ini, kerjaya anggota bomba dan penyelamat menjadi subjek utama penerbit NS Star Sdn Bhd untuk filem sulung terbitan mereka ini.

Secara kebetulan juga, kita dikejutkan dengan tragedi enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang terkorban ketika operasi mencari seorang remaja lemas di lombong di Puchong, baru-baru ini dan ia menyuntik kesedaran masyarakat terhadap kerjaya yang penuh cabaran ini.

Azizi ‘Chunk’ Adnan yang pernah mengarah filem Antoo Fighter: Amukan Drakulat! dan Kapoww!! Atoi The Ajaib Boy!! diberikan tanggungjawab besar mengarahkan Hero The Movie yang membariskan pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Shaharuddin Thamby, Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha, Tash Yong dan Syafiq Farhain ini.

Azizi berkata, Hero The Movie dihasilkan bukan untuk sekadar hiburan semata-mata, tetapi turut mengandungi dakwah dan ada objektif tersendiri.

“Setiap filem saya ada mesej tersendiri termasuk dua filem terdahulu. Ada sesuatu yang saya tampilkan tapi orang kita sebenarnya malas nak berfikir.

“Darling Ngasri mencari seorang yang boleh buat cerita komedi dan tawarkan peluang ini dan saya bersetuju. Cuma cabarannya saya kena buat cerita berkisar kerjaya anggota bomba.

“Apabila membabitkan pasukan beruniform, dia ada banyak SOP (prosedur operasi standard), protokol dan banyak lagi. Itulah cabaran dan saya kena banyak buat rujukan,” katanya.

Menurutnya, skrip filem ini dihasilkan sendiri dengan mendapatkan nasihat Jabatan Bomba dan Penyelamat agar tidak menyimpang daripada kerjaya sebenar mereka.

“Selalunya cerita saya ada konsep humor. Dalam filem ini juga ditonjolkan konsep itu sikit-sikit tapi disaluti dengan mesej dakwah dan kemanusiaan.

“Ia sebenarnya cerita berat, tapi saya cuba sampaikan dalam bentuk ‘comical’ supaya orang tak ‘stress’ menonton. Ikutkan isi yang disampaikan agak berat. Ini cerita saya yang paling asli. Ia adalah kisah anggota bomba Malaysia dan inti ceritanya sangat dekat dengan kita seperti kebakaran pusat tahfiz,” katanya.

Azizi mengakui beruntung bekerjasama dengan pihak bomba kerana mereka banyak memberi nasihat dalam hal keselamatan ketika di lokasi.

“Mereka bagi tip untuk mengelak sebarang perkara yang tak diingini. Dalam filem ini ada babak letupan serta kebakaran dan setakat ini tiada kemalangan dialami.

“Saya akui ketika penggambaran berjalan, hati tersentuh dengan tragedi yang menimpa enam anggota bomba. Sudah seminggu kami menjalani penggambaran di balai bomba dan melihat setiap pagi dan malam mereka akan memula serta menutup hari dengan berdoa. Jabatan Bomba dan Penyelamat adalah satu pasukan berbeza,” katanya.

AZIZI
AZIZI

Walaupun banyak membariskan pelakon baru, Azizi ‘enjoy’ kerana mereka mudah diajar dan tidak kuat melawan.

“Mereka mendengar kata berbanding pelakon lama yang ada ego dan ikut kepala sendiri. Semua pelakon ini cuba memberikan yang terbaik.

“Mark banyak mengejutkan saya kerana bawa karakter yang tak disangka. Dia ada potensi untuk jadi Stephen Chow Malaysia,” katanya.

Cabaran terbesar yang dilalui ialah mendapatkan lokasi sesuai dan cuaca hujan.

Malah, ketika sesi temu bual di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur baru-baru ini, penggambaran terpaksa dihentikan akibat hujan lebat.

Adaptasi daripada drama

Asalnya Hero The Movie adalah drama bersiri 13 episod arahan Bade Azmi berjudul Hero yang pernah ditayangkan di TV2 pada 2016.

Penerbitnya, Darling Ngasri berkata, sambutan yang diterima memang hangat dan mereka kemudian menerbitkan novel yang keseluruhan skripnya daripada drama.

“Kemudian barulah difilemkan. Ini masa yang sesuai untuk syarikat saya tampil dengan filem sulung. Tahun depan akan keluar pula drama bersiri Hero musim kedua di TV.

“Kami bekerjasama dengan pihak bomba. Saya nak orang ingat Hero The Movie adalah jenama saya,” katanya.

Menurut Darling, draf untuk filem ini dibuat lapan kali dan ideanya adalah daripada dia sendiri.

“Saya tukar genre sebanyak tiga kali dan buat kajian. Akhirnya saya pilih komedi aksi kerana mahukan jalan selamat.

“Kita tahu bomba adalah satu kerjaya serius tapi perlu diberi suntikan komedi supaya orang seronok menonton dan pada masa sama kanak-kanak juga boleh menonton. Saya sebenarnya senaraikan banyak nama pengarah ikut genre. Apabila pilih genre ini, saya pilih Azizi kerana dia sangat rasional dan matlamat kami selari,” katanya.

Darling mengakui ngeri dengan babak aksi yang ditampilkan dalam filem ini terutama membabitkan keselamatan pelakon.

ELISYA segak beruniform bomba.
ELISYA segak beruniform bomba.

“Tak tidur malam saya dibuatnya kerana babak mereka membabitkan keselamatan. Saya bimbang kerana mereka adalah pelakon saya dan kalau berlaku apa-apa saya yang tanggung kesannya.

“Sebagai persediaan, semua pelakon saya diberikan perlindungan insurans. Semua babak dibuat membabitkan api sebenar dan kami akan masukkan juga teknik imej janaan komputer (CGI) nanti,” katanya.

Hero The Movie mengisahkan Zaf (Hisyam), Amad Mustar (Bell), Adam Fanifinali (Mark), Amylia (Elisya Sandha) dan Suraya (Tash Yong) yang menjalani kehidupan sebagai anggota bomba.

Masing-masing mempunyai kisah tersendiri apabila Zaf adalah bekas pelajar tahfiz yang pernah mengalami kejadian kebakaran di pusat tahfiz.

Amad Mustar pula asalnya bercita-cita menjadi seorang tukang gunting rambut dan mempunyai ‘pomade’ jenama sendiri.

Adam Fanifanali pula seorang ahli tomoi yang berjiwa kental walaupun susuk tubuhnya kecil. Amylia pula menaruh hati terhadap Zaf manakala Suraya menjadi rebutan Adam dan Amad.

Kerjaya mereka tergugat disebabkan rancangan jahat Master Samiri (Jalaluddin) yang mempunyai rangkaian antarabangsa yang mahu menculik Amylia.

Dia dibantu Don Shah (Shaharuddin) yang lagaknya persis mafia yang kaya, sangat bergaya dan suka dijadikan perhatian.

ANTARA babak dalam filem ini.
ANTARA babak dalam filem ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 2:59 PM