Sudirman Mohd Tahir


Seluruh dewan terpaku dan turut merasai kesedihan menerusi ucapan disampaikan penerbit terkenal, Datuk Ziela Jalil pada majlis resepsi anak sulungnya, Dr Puteri Julia Nabilah dengan pasangan, Dr Dziya Faqhran Mahmod Fauzi yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Pasangan berkenaan yang mengikat tali pertunangan pada 12 Mei lalu selamat diijab kabul pada 1 Julai lalu dengan hanya sekali lafaz.

Menariknya, perkenalan antara mereka berlangsung selama empat bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Tidak mudah melepaskan Julia sebab saya sangat ‘over protective’. Dulu kalau ada kekasih saja, mana yang tak okey awal-awal lagi saya sudah pangkah. Saya takut cita-cita dia nak jadi doktor tak kesampaian kalau salah pilih kawan mahupun kekasih.

“Alhamdulillah, saya ada perasan yang kuat terhadap Dziya yang mana akan beri kasih sayang atau lebih seperti yang saya pernah berikan kepada Julia,” katanya.

Ziela juga sempat berkongsi pesanan kepada pasangan itu yang dipetik menerusi drama lakonan Beto Kusyairy, apatah lagi ia sesuai menggambarkan situasi anaknya kini yang sudah bergelar isteri orang.

“Dalam drama itu, Beto ada menyebut jodoh itu rahsia Allah dan tak semestinya setiap hubungan berakhir dengan sebuah perkahwinan. Jadi jika dimudahkan sesuatu perkara termasuk hubungan itu kita bersyukur. Jika diuji bersabarlah.

“Dalam hal anak saya ini, dia berkenalan empat bulan dan minggu lepas mereka diijabkabulkan. Semoga mereka bahagia melayari kehidupan sebagai suami isteri.

“Cuma mereka kena ingat perkahwinan ini bukan satu ikatan mudah. Jadi layarilah dengan baik dengan penuh takwa dan iman, amanah serta bertanggungjawab. Insya-Allah semoga mereka berjaya dunia akhirat.

“Di mata saya, menantu berperibadi baik dan bijak. Malah keluarga kami juga sudah bertambah dengan kehadiran besan. Apatah lagi saya anak tunggal,” katanya.

Selain mendengar ucapan penuh makna daripada Ziela, tetamu yang hadir turut menyaksikan paparan video menerusi majlis pertunangan, akad nikah, khatam al-Quran dan majlis berinai.

Ziela menjelaskan dia memilih untuk menayangkan semula rakaman video majlis khatam al-Quran anak perempuannya itu ketika berusia 12 tahun.

Dalam video berkenaan memaparkan kelibat arwah suami, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang meninggal dunia akibat kanser prostat pada 24 Januari 2008.

“Sempurna majlis perkahwinan dengan tayangan video ini kerana arwah suami bagai menyaksikannya Julia berkahwin. Malah, ‘kehadirannya’ amat bermakna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 9:14 AM