ZIELA bersama suaminya.
ZIELA bersama suaminya.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penerbit dan pelakon Datuk Ziela Jalil, 51, tidak menolak sekiranya dikurniakan zuriat menerusi perkahwinannya dengan Datuk Syed Osman Al Habshee Syed Omar, 55.

Ziela atau nama sebenarnya Norzila Abdul Jalil, berkata dia bersikap terbuka dan menyerahkan perkara ini kepada ketentuan Allah.

"Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik. Saya serahkan semuanya kepada Allah kerana semua atas kehendak-Nya.

"InsyaAllah, saya menerima baik setiap yang berlaku. Doakan yang baik-baik," katanya yang ditemui pada majlis Hi Tea D'Haja di sebuah hotel terkenal, baru-baru ini.

Terdahulu, perkahwinan pasangan ini pada 17 Februari 2019 pernah menjadi bualan hangat warganet apabila Ziela dikatakan merahsiakannya daripada pengetahuan masyarakat. 

Ia mula tular apabila salah seorang anak suaminya membuat hantaran di media sosial berkenaan Ziela adalah isteri kedua.

Isu ini bagaimanapun akhirnya reda, apabila Ziela memberitahu tindakannya kerana mahu menjaga hati banyak pihak, selain menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkannya. 

Pemilik syarikat produksi Pena Creative Pictures Sdn Bhd ini mengakui bersyukur kerana rumah tangga mereka berada dalam keadaan harmoni.

"Alhamdulillah selepas 11 tahun, Allah yang mengaturkan. Jadi saya yakin aturan Allah itu sesuatu yang sangat-sangat baik kerana dia lebih tahu.

"Dan syukur, yang penting adalah keluarga saya kerana anak-anak menerimanya dengan baik. Jadi, kita jalankan kehidupan dengan baik. InsyaAllah.

"Isu kecaman juga sudah tiada, berbanding ketika awal pengumuman dibuat. Allhamdulillah, tiada lagi komen-komen kurang baik," katanya.

Ziela tidak menafikan, meski masih ada beberapa komen yang mengecam, namun itu tidak meninggalkan apa-apa kesan sedih buatnya.

"Saya tak perlu ambil kisah kerana ramai yang puji dan mendoakan yang baik-baik berbanding kecaman sebegini," katanya yang sudah mempunyai seorang cucu berusia dua tahun.

Sebelum ini, menerusi perkahwinan Ziela dengan Allahyarham Tan Sri Megat Junid pada 1991, mereka dikurniakan dua anak, Dr Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah.

Selain itu, Ziela juga kini mempunyai seorang anak angkat, Ibrahim Junid Abdullah.

Dalam pada itu, Ziela yang sering tampil bergaya mengenakan tudung D'Haja mengakui, dia perlu melawa bukan hanya semata-mata untuk suami, tetapi kemunculan dalam masyarakat.

"Apabila bergaya, ia membentuk  keyakinan diri. Contohnya, saya sering terbabit dalam mesyuarat virtual dengan pelbagai pihak. Walaupun seluruh fizikal tak nampak, tapi saya perlu nampak kemas dengan tudung yang sesuai untuk membuatkan saya lebih selesa ketika pembentangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 11:41 AM