Pasangan suami isteri yang diberkas selepas didapati menjadi dalang menghasilkan produk kesihatan tidak berdaftar.
Pasangan suami isteri yang diberkas selepas didapati menjadi dalang menghasilkan produk kesihatan tidak berdaftar.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Fazrik Kamarudin


Kuala Lumpur: Sengaja eksploitasi pelbagai perkataan berunsur Islam pada jenama produk kesihatan tidak berdaftar untuk memperdaya pengguna Islam, sekali gus mendapatkan untung lumayan.

Itu antara tindakan biadab beberapa ahli perniagaan bukan Islam yang sengaja menggunakan istilah mengelirukan itu pada jenama produk ubat-ubatan dan makanan kesihatan yang dicampur racun berjadual.

Kegiatan itu dibongkar susulan tindakan pegawai Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan.

Malaysia (KKM) menyerbu sebuah kediaman di Kampung Pokok Keras dekat Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Sumber KKM berkata, hasil serbuan itu, pihak BPF mendapati kediaman berkenaan dijadikan kilang haram untuk membancuh dan menghasilkan dua jenis jus produk minuman kesihatan yang terkenal di pasaran.

Menurutnya, siasatan dan ujian makmal kimia dilakukan BPF sebelum ini mengesahkan jus itu dicampur kimia steroid dexamethasone dan prednisolone yang dilarang penggunaannya pada makanan kesihatan.

“Kedua-dua produk jus ‘kesihatan’ itu disahkan positif mengandungi racun berjadual dan dijual di pasaran pada harga antara RM75 hingga RM130.

“Hasil pemeriksaan lanjut di kediaman itu mendapati jus berkenaan dibancuh pasangan suami isteri bukan Islam terbabit,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu mengguna tiga tong dram dan mesin pam tekanan udara untuk membancuh jus itu dalam kuantiti besar.

“Jus dihasilkan turut menggunakan campuran serbuk perisa, karamel dan air paip selain ditambah kimia steroid dexamethasone dan prednisolone.

“Jelas sekali ini adalah penipuan berikutan pihak pengedar mendakwa minuman kesihatan itu dihasilkan 100 peratus dari buah-buahan terpilih,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan risikan sebelum ini, pengedar produk itu mendakwa minuman kesihatan berkenaan mampu menghilangkan sakit sendi dan urat, kebas, lenguh badan dan lutut.

“Bagaimanapun rata-rata pelanggan tidak mengetahui minuman itu dicampurkan kimia steroid dexamethasone yang menghilangkan sakit dialami buat sementara waktu. Malah penggunaan jenama produk berunsur Islam menyebabkan rata-rata pelanggan terpedaya.

“Susulan itu pihak BPF bertindak merampas semua produk dianggarkan bernilai lebih RM10,000 itu. Pasangan itu disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana mengilang ubat tidak berdaftar yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, penggunaan steroid dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan doktor boleh mengakibatkan kesan sampingan buruk antaranya tulang rapuh, glaucoma, ketidakseimbangan hormon, gangguan haid dan peningkatan paras gula sekali gus menyebabkan tekanan darah meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 6:02 AM