ANGGOTA  penguat kuasa  merampas produk  minuman kesihatan Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar yang  masih bebas  dijual di sekitar  Jalan Raja Bot, kelmarin. FOTO NSTP
ANGGOTA penguat kuasa merampas produk minuman kesihatan Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar yang masih bebas dijual di sekitar Jalan Raja Bot, kelmarin. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Walaupun sudah dirampas dan diharamkan penjualannya sejak Mac lalu namun produk minuman kesihatan jenama Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar masih bebas ditemui dan dijual di pasaran.

Ini terbukti apabila sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) melakukan rampasan puluhan botol produk haram itu di sekitar Jalan Raja Bot, Chow Kit, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 pagi, semua produk berkenaan didapati masih dijual kebanyakannya oleh peniaga toko ubat-ubatan tradisional warga Indonesia.

Rampasan itu sekali gus membuktikan masih ada pihak meneruskan pengeluaran dan penjualan produk jenama berkenaan walaupun kilang premis itu di Tasek Gelugor, Pulau Pinang diserbu sebelum ini.

Malah, lebih mengejutkan apabila pengedar mendakwa produk itu boleh merawat dan mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), antikanser dan pelbagai penyakit berbahaya lain.

KKM memaklumkan hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ke atas produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran syarikat Sri Saga Marketing S/B mendapati syarikat terbabit tidak wujud sekali gus melanggar Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

Berdasar serbuan di Pulau Pinang sebelum ini, sepasang suami isteri bukan Islam dikesan sebagai dalang utama menghasilkan produk ini di sebuah premis berhampiran ladang babi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil analisis mengesahkan ada antara produk itu mengandungi kimia dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang dilarang mengikut Akta Makanan 1983.

“Semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk itu diarah menghentikan serta-merta penjualannya dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Dexamethasone dan prednisolone adalah steroid digunakan untuk rawatan masalah bengkak dan radang yang serius.

“Penggunaan dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 10:31 AM