SERBUAN pegawai BPF Kementerian Kesihatan Malaysia di premis yang menjual produk beracun menguruskan badan.
SERBUAN pegawai BPF Kementerian Kesihatan Malaysia di premis yang menjual produk beracun menguruskan badan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SEPASUKAN pegawai Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan, menyerbu premis perniagaan dipercayai menjual pil punca pemain hoki kebangsaan gagal ujian doping, Disember lalu.

Premis itu dikesan menjual produk menguruskan tubuh dicampur kimia sibutramine secara haram menyebabkan penjaga gol hoki terbabit, S Kumar didapati positif ketika menjalani ujian doping.

Sumber berkata, susulan aduan itu, BPF menyerbu premis di Taman TTDI Grove, Kajang, Selangor, 10.30 pagi, hari ini.

“Serbuan dilakukan selepas sampel produk dimakan penjaga gol hoki itu disahkan Jabatan Forensik Kimia mengandungi racun berjadual sibutramine.

“Kimia ini dicampurkan ke dalam serbuk minuman dan tablet tanpa memaklumkan kandungan kimia itu pada label produk.

“Akibatnya, ramai pelanggan yang membeli produk ini tidak mengetahui bahaya terkandung di dalam produk itu yang didakwa mampu membakar lemak dan karbohidrat berlebihan,” katanya.

Susulan serbuan itu, lebih 1,000 botol produk dalam bentuk serbuk dan kapsul dirampas BPF di premis di Kajang dan Kelantan, bernilai lebih RM400,000.

“Sibutramine adalah sejenis racun berjadual dan diharamkan penggunaannya sejak 2010. Kimia ini memberi kesan buruk dengan mempercepatkan denyutan jantung.

“Kimia ini sangat bahaya untuk pembuluh darah berikutan tekanan darah boleh naik mendadak. Individu yang memakannya boleh diserang angin ahmar mengejut serta menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati,” katanya.

Sumber berkata, BPF mengambil masa menjejaki pengedar produk ini berikutan laman web milik penjual produk itu sudah ditutup.

“BPF bagaimanapun berjaya mengesan penjual produk ini sebelum membuat uji beli. Produk ini kemudian dihantar untuk ujian kimia bagi mengesahkan kandungan kimia,” katanya.

Oktober lalu, Kumar didapati positif ujian doping ketika Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh. Dia dikesan positif ujian doping ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia ketika bertemu Oman.

Kumar bagaimanapun bebas daripada hukuman penggantungan sementara oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 15 April lalu dan diberikan kepercayaan untuk beraksi bersama skuad Malaysian Tigers dalam Siri Jelajah Argentina, pada 25 Mei hingga 2 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 7:11 PM