Nor Ain Mohamed Radhi

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta orang ramai supaya tidak terus memberi tumpuan dan melayan isu ditimbulkan penyanyi rap kontroversi, Namewee.

Ini kerana katanya, lebih banyak tumpuan diberikan kepada lelaki itu, lebih banyak publisiti yang akan diterimanya.

"Pada saya, kita semua tahu yang dia adalah seorang yang bodoh, maka kita tidak perlu ambil peduli mengenainya.

"Sekiranya kita terus melayan orang seperti itu, dia akan terima lebih banyak publisiti," katanya dalam sidang media selepas melancarkan program Skuad Operasi Sihat Negaraku TN50 oleh Kumpulan Bousted, di Kuala Lumpur hari ini.

Minggu lalu, Namewee memuat naik satu klip video muzik sempena Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’ memaparkan dia bersama beberapa individu lain melakukan tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya,

Video berkenaan yang viral menimbulkan kemarahan netizen dan masyarakat mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan.

Menurut Khairy, dia tidak akan menghalang atau membantah tindakan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ke atas Namewee

"Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan dan tidak akan menghalang mereka," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Najmuddin Mohd mengesahkan pihaknya sudah menahan penyanyi rap itu atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, 34.

Dia ditahan ketika dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung video berkenaan yang dikatakan tidak mempedulikan sensitiviti.

Pada 18 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis sudah membuka kertas siasatan ke atas Namewee berhubung klip video berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 10:50 PM