KERATAN senarai gaji palsu pemain Kedah yang tular di media sosial baru-baru ini.
KERATAN senarai gaji palsu pemain Kedah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Adie Suri Zulkefli


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan maklumat gaji pemain skuad Helang Merah yang tular di media sosial sejak Rabu lalu, palsu.

Menteri Besar merangkap Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, siasatan awal mendapati pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat itu berniat jahat untuk memecah-belahkan skuad kendalian Ramon Marcote.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti pihak yang menyebarkan maklumat palsu berkenaan di laman sosial sambil menyeru penyokong Kedah supaya tidak terpedaya.

“Maklumat mengenai gaji pemain yang disebarkan di media sosial itu tidak betul dan kita akan siasat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya.

“Tindakan menyebarkan maklumat palsu gaji pemain ini bertujuan untuk mengalih perhatian pasukan Kedah dan juga memecahbelahkan pemain kita.

“Ini sama seperti tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu mengenai senarai calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 di media sosial baru-baru ini dengan niat untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan ahli parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan angpau dan bahan keperluan asas kepada warga emas Parlimen Alor Setar di Simpang Kuala, hari ini.

Ahmad Bashah turut menyampaikan cermin mata percuma kepada 250 orang penerima sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Rabu lalu, penyokong Kedah dikejutkan dengan penyebaran sekeping kertas kononnya menyenaraikan gaji bulanan yang diterima pemain pasukan itu di laman sosial.

Maklumat disebarkan dengan tajuk ‘Kontrak Pemain 2018’ merujuk kepada gaji tahun lalu dan musim ini yang diterima 29 pemain Liga Super Kedah yang mengikat kontrak dengan KFA.

Susulan penyebaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus, berkata pihaknya akan menyiasat kesahihan maklumat yang disebarkan itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 6:00 PM