AHMAD Bashah (dua dari kanan) ketika mempengerusikan Kongres Tahunan  KFA.
AHMAD Bashah (dua dari kanan) ketika mempengerusikan Kongres Tahunan KFA.
Suzalina Halid


MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah diputuskan kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melalui Kongres KFA, di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh 36 ahli gabungan kongres secara konsesus yang mahu Ahmad Bashah kekal sebagai presiden bagi musim kedua.

Ahmad Bashah ketika mengulas mengenai perkara itu, menghargai kepercayaan yang diberi ahli gabungan kongres selain mengharapkan peminat pasukan Kedah turut menyokongnya.

“Peminat seharusnya menyokong keseluruhan struktur KFA untuk memastikan kita kuat untuk menempuh musim akan datang.

“Kalau sekadar menyokong pasukan namun tidak menyokong pengurusan ia ternyata mampu melemahkan pasukan, ” katanya pada sidang media selepas Kongres KFA, di sini.

Sebelum ini, penaja utama skuad Helang Merah, ECK Development Sdn Bhd akan mempertimbangkan semula penajaan sekiranya Ahmad Bashah meletakkan jawatannya itu seperti yang didesak pihak tertentu.

Pada masa sama, Ahmad Bashah berkata, tindakan dibuat penaja itu untuk memastikan pasukan bersedia menempuh musim 2018 di mana KFA memperuntukkan bajet sebanyak RM30 juta - peningkatan sebanyak RM3 juta berbanding tahun ini bagi perbelanjaan mengurus pasukan.

Beliau berkata, RM5 juta daripada peruntukan itu disalurkan bagi membayar pemain import termasuk tiga yang bakal diambil menjelang awal tahun hadapan.

Katanya, pengumuman mengenai tiga pemain import itu yang akan menemani Sandro Mendonca dan Liridon Krasniqi, dijangka akan dibuat jurulatih, Ramon Marcote Peqeuno sebelum perlawatan persahabatan pra-musim berlangsung.

“Sehingga kini kita masih melihat mana pemain import yang kita mahu dengan perbincangan bersama Ramon Marcote. Itu akan dibincang dengan jurulatih kerana dia lebih kenal dan tahu apa yang diperlukan pasukan...kita tak perlu orang tengah, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:24 AM