DOKUMEN berkaitan gaji pemain Kedah yang tular di media sosial hari ini.
DOKUMEN berkaitan gaji pemain Kedah yang tular di media sosial hari ini.
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) memandang serius penyebaran maklumat gaji pemain skuad Helang Merah yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus, berkata pihaknya akan menyiasat kesahihan maklumat yang disebarkan itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebagai CEO yang baharu, saya mengambil serius mengenai penyebaran dokumen gaji membabitkan pemain di laman sosial walaupun kesahihannya dilihat agak meragukan.

“Namun, saya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mendedahkan perkara sulit terutama berkaitan gaji pemain.

“Memang berita yang tular dalam Internet sukar dibendung, malah setiap hari kita didedahkan dengan banyak berita yang kurang sahih seperti berlaku dalam hal politik dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Yusdi bagaimanapun enggan mengulas lanjut sehingga siasatan dalaman pihak KFA selesai.

“Buat masa ini saya tak dapat beri ulasan lebih lanjut namun saya mengambil sepenuh perhatian mengenai perkara ini,” katanya.

Penyokong Kedah hari ini dikejutkan dengan penyebaran sekeping kertas kononnya menyenaraikan gaji bulanan yang diterima pemain pasukan itu di laman sosial.

Maklumat disebarkan dengan tajuk ‘Kontrak Pemain 2018’ merujuk kepada gaji tahun lalu dan musim ini yang diterima 29 pemain Liga Super Kedah yang mengikat kontrak dengan KFA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 8:55 PM