PEMAIN Kedah sokong kepimpinan KFA.
PEMAIN Kedah sokong kepimpinan KFA.
Izzali Ismail


SKUAD Helang Merah hari ini sepakat menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk terus memimpin Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Mereka yang diketuai kapten pasukan, Khairul Helmi Johari mengumumkan pendirian itu dalam satu sidang media khas di sini, sebentar tadi.

“Kami mahu Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah terus mengekalkan jawatannya itu dan berharap tidak melayan mana mana pihak yang mendesak beliau melepaskan jawatan.”

“Ingin kami tegaskan, bahawa kami (barisan pemain Kedah) tidak bersetuju dan membantah keras semua cadangan yang mendesak presiden kami meletakkan jawatan,” katanya.

Isu meminta Ahmad Bashah melepaskan jawatan sebagai Presiden KFA berbangkit selepas berakhirnya final Piala Malaysia termasuk daripada gabungan kelab penyokong.

Bagaimanapun majlis eksekutif persatuan yang mengadakan perbincangan selepas itu menolak desakan berkenaan dan mahu Menteri Besar itu terus kekal menerajui KFA.

Khairul Helmi berkata, sepanjang dua musim memimpin KFA, Ahmad Bashah, terbukti melaksanakan tugasnya dengan profesional.

Katanya, Presiden KFA itu memberi sepenuh kepercayaan kepada pengurus dan jurulatih mengendalikan pasukan sehingga skuad Helang Merah mencapai beberapa kejayaan sekali gus kian disegani.

“Beliau berperanan memastikan pemain berada dalam keadaan baik, hal kebajikan pemain terjaga, pembayaran gaji menepati masa dan mengambil berat kebajikan ibarat seorang ayah terhadap anaknya.

“Disamping itu beliau juga tidak mengambil kesempatan mempolitikkan bola sepak untuk kepentingan mana mana pihak.”

Berhubung dengan dakwaan rasuah, Khairul Helmi berharap orang ramai terutama penyokong tidak membuat tanggapan yang salah kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih melakukan siasatan.

“Biarlah SPRM menjalankan tugas mereka. Dalam kes begini, kita harus berpegang kepada konsep dakwaan iaitu tidak semestinya benar selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Saya harap isu yang melanda pasukan ini dapat ditamatkan segera untuk kepentingan dan kebaikan semua pemain serta seluruh penyokong Kedah yang mahukan kebangkitan di musim depan termasuk di peringkat Asia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 11:04 PM