Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Penganjuran kempen 'I Want to Touch a Dog' sengaja diperbesarkan bagi mengalih pandangan masyarakat terhadap isu lain sebelum ini antaranya pesta minum arak 'Oktoberfest' dan peperangan membabitkan kumpulan militan Negara Islam (IS) selain berniat memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak mengeluarkan sebarang surat kebenaran berhubung penganjuran acara sentuh anjing seperti heboh diperkatakan di laman sosial.

"Umat Islam di negara ini perlu berwaspada supaya tidak terperangkap dalam 'jerat' berkenaan yang boleh memecah-belahkan dan menjadikan kita bercelaru.

"Malah MAIS tidak menerima sebarang maklumat mengenai penganjuran acara dan bukan di bawah bidang kuasa kami untuk memberi kebenaran atau tidak, sebaliknya ia tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Tiada alasan membolehkan seorang Islam memegang anjing untuk tujuan suka-suka, maka acara seperti itu memang tidak sepatutnya dianjurkan. Saya juga secara peribadi tidak mengenali penganjur acara berkenaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Multaqa' Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia 2014, di sini, hari ini.

Berhubung gambar anjing yang dipakaikan serban dan jubah yang mula disebarkan melalui laman sosial, beliau berkata, perbuatan itu sememangnya bertujuan untuk menghina umat Islam secara amnya selain mempunyai agenda menjatuhkan maruah ulama.

"Saya percaya, gambar anjing yang disebarkan tidak lain untuk menghina ulama yang sebelum ini menjadi tempat rujukan bagi seluruh umat Islam berkaitan hukum syarak. Perbuatan itu sungguh jijik dan ia disebarkan selepas isu sentuh anjing tersebar serta menjadi tumpuan awam," katannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 8:39 PM