WEE Kiong (kiri) akui mereka banyak lakukan kesilapan mudah yang menjejaskan rentak mereka. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
WEE Kiong (kiri) akui mereka banyak lakukan kesilapan mudah yang menjejaskan rentak mereka. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah dan Fabian Peter


BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal dalam misi menamatkan kejuaraan selama setahun dialami mereka apabila tewas dalam aksi final Masters Malaysia, hari ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu terpaksa akur apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14, 22-24, 13-21 dalam aksi yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.

Wee Kiong, berkata kesilapan mudah yang dilakukan mereka terutama di set kedua nyata menjejaskan rentak mereka sehingga memberi lawan keyakinan untuk bangkit semula.

“Secara keseluruhan, kami bermain baik hari ini sebenarnya, tetapi kami banyak melakukan kesilapan mudah di set kedua. Apabila lawan kami berjaya mengutip mata demi mata, ia memberi keyakinan semula untuk mereka bangkit dan memenangi set kedua.

“Di set ketiga, kami lawan mengubah strategi permainan dan kami agak lambat untuk membaca pergerakan mereka. Ia perlawanan yang sukar tetapi kami akan terus perbaiki kelemahan untuk menghadapi kejohanan seterusnya,” kata Wee Kiong selepas tamat perlawanan.

Dengan kekalahan itu, V Shem-Wee Kiong terus kempunan untuk meraih gelaran juara sejak kali terakhir melakukannya pada saingan Siri Super Akhir 2016 di Dubai.

Bagaimanapun, ia boleh dianggap pencapaian membanggakan buat mereka selepas kembali digandingkan awal tahun ini. Di Masters Thailand minggu lalu, V Shem-Wee Kiong berjaya mara sehingga separuh akhir.

Sebelum ini, kedua-dua pemain berkenaan dipisahkan selama empat bulan tetapi digandingkan semula susulan format

kejohanan baharu dilakukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan bagi persiapan untuk saingan kelayakan Piala Thomas 2018.

V Shem-Wee Kiong kini mengalihkan fokus mereka kepada saingan Masters Indonesia yang akan bermula, Selasa ini.

Mereka akan memulakan saingan menentang pasangan Denmark, Mathias Christiansen-David Daugaard untuk aksi pusingan pertama.

“Kami berharap boleh terus mengekalkan momentum ini. Kami akan terus bekerja keras untuk memperbaiki kombinasi kami dan yang paling penting selepas dua kejohanan ia adalah permulaan yang baik untuk kami,” kata Wee Kiong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 7:17 PM