V SHEM dan Wee Kiong tewaskan pasangan Denmark.
V SHEM dan Wee Kiong tewaskan pasangan Denmark.
Ferzalfie Fauzi

SELEPAS sekian lama tidak merasai pentas final, beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berjaya menamatkan kemarau apabila memenangi aksi separuh akhir Terbuka Taiwan hari ini.

V Shem-Wee Kiong yang kali terakhir mara ke final Januari lalu di Masters Thailand, berjaya menumpaskan gandingan Denmark, Mathias Boe-Mads Conrad Petersen 18-21, 21-11, 21-12 di Arena Taipei.

Menurut V Shem, lawan mereka bermain dengan baik di set pertama terutama dari segi strategi dan pergerakan dalam gelanggang.

“Selepas itu di set kedua kami cuba menukar perancangan dan ia ternyata berhasil. Kami lebih banyak menyerang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, mereka sudah lama tidak beraksi di final dan mahu membuktikan mereka masih bekerja keras walaupun sudah menjadi pemain profesional.

“Saya berharap kami mampu meraih satu lagi kejuaraan tahap 300 (selepas Master Thailand),” katanya.

Menanti mereka di final esok ialah wakil Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae yang menumpaskan pasangan tuan rumah, Lee Yang-Wang Chi Lin 19-21, 25-23, 23-21.

Ini adalah kali pertama V Shem-Wee Kiong berdepan Solgyu-Seung Jae.

Sementara itu, perjuangan beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terhenti di separuh akhir apabila mereka tewas straight set kepada gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 10-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 7:20 PM