V SHEM (belakang)  dan Wee Kiong harap dapat lakar kejayaan pada tahun ini. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
V SHEM (belakang) dan Wee Kiong harap dapat lakar kejayaan pada tahun ini. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah


BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berharap dapat mengulangi zaman gemilang mereka seperti tahun 2016 yang menyaksikan kedua-dua pemain berkenaan berada di kemuncak prestasi dengan meraih beberapa gelaran utama.

V Shem-Wee Kiong kini dilandasan tepat untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama setahun yang dialami mereka apabila mengesahkan tempat ke final Masters Malaysia, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu melakar kemenangan ke atas Chen Hung Ling-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-16, 21-17 dalam aksi separuh akhir di Arena Axiata Bukit Jalil.

V Shem-Wee Kiong akan bertemu pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto bagi perebutan gelaran juara, esok.

Kali terakhir pasangan yang kembali digandingkan itu muncul juara adalah pada Siri Super Akhir 2016 di Dubai.

Tahun 2016 jelas detik gemilang buat V Shem-Wee Kiong yang menyaksikan meraih perak Olimpik Rio selain gelaran Terbuka Denmark dan Siri Super Akhir sebelum prestasi mereka merosot sepanjang 2017 sehingga dipisahkan selama empat bulan.

“Selepas kami kembali bersama, keputusan yang dihasilkan cukup positif dan diharapkan kami boleh kekalkan prestasi

ini sekali gus mampu mengulangi pencapaian yang kami raih pada 2016. Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik untuk kami dan kami berada dilandasan yang betul,” kata V Shem selepas perlawanan.

Mengulas mengenai pertembungan dengan pasangan Indonesia, esok, Wee Kiong berkata lawan mereka itu bermain dengan baik dalam kejohanan kali ini dan mereka perlu kekal fokus.

“Saya ada tengok mereka bermain dan mereka beregu yang hebat. Lagipun, tahap semua beregu lelaki semua hampir sama biarpun mereka hanya beregu ketiga Indonesia. Kami perlu terus fokus.

“Kami tidak mahu fikir mengenai gelaran juara. Cuma, kami perlu lebih fokus kerana ia adalah perlawanan terakhir dan jika kami bermain dengan baik, peluang tetap ada (muncul juara),” kata Wee Kiong.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie gagal dalam usaha untuk mempertahankan gelaran naib juara dirai pada edisi tahun lalu apabila tewas kepada pasangan Hong Kong,Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-14, 12-21, 13-21.

“Kami bermain dengan baik pada set pertama tetapi gagal mengekalkannya di set kedua. Lawan kami menukar strategi permainan dan mereka bermain dengan baik.

“Jurulatih kami (Chin Eei Hui dan Pang Cheh Chang) meletakkan sasaran untuk satu beregu layak ke final tetapi tidak dapat dicapai. Apa pun, kami tetap berpuas hati dapat melangkah sehingga separuh akhir,” kata Shevon.

Soon Huat-Shevon muncul naib juara edisi tahun lalu selepas tewas di tangan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 10:12 PM