V Shem (kiri) dan Wee Kiong ketika menentang Fajar dan Rian di Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
V Shem (kiri) dan Wee Kiong ketika menentang Fajar dan Rian di Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah


KETUA jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit menyifatkan status sebagai beregu kedua yang disandang Goh V Shem-Tan Wee Kiong mampu memberi kelebihan buat skuad negara menjelang saingan Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, bulan depan.

Berdasarkan kedudukan ranking ketika ini, Teo Eei Yi-Ong Yew Sin yang menghuni tangga ke-21 dunia bakal menggalas tugas sebagai beregu pertama negara manakala V Shem-Wee Kiong (24) kedua.

Bagi Soon Kit, situasi berkenaan mungkin menjadi senjata utama barisan pemain beregu negara dalam usaha menyumbang mata buat pasukan.

“Berdasarkan pengalaman dan prestasi terkini V Shem-Wee Kiong termasuk dalam kejohanan Masters Malaysia, ia mampu menjadi kelebihan buat skuad negara. Kita ada peluang lebih cerah untuk mendapat mata tetapi ia bergantung kepada kedudukan ranking terbaru nanti,” kata Soon Kit.

Kejohanan Berpasukan Asia yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, Mei depan akan bermula 6 hingga 11 Februari ini.

V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 muncul naib juara Masters Malaysia yang menyaksikan mereka tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14, 22-24, 13-21 di final yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil, semalam.

Walaupun gagal muncul juara namun Soon Kit berpuas hati dengan prestasi mereka termasuk pencapaian dilakar bekas beregu nombor satu dunia itu ketika saingan Masters Thailand yang menyaksikan mereka mara sehingga separuh akhir.

“Kalau kita lihat prestasi mereka dalam kejohanan ini, mereka bermain dengan baik, saling memberi semangat antara satu sama lain. Mereka juga berkerja keras untuk kembali mencapai prestasi terbaik seperti ketika mereka memenangi perak Olimpik pada 2016.

“Apa yang saya harapkan sekarang, mereka boleh terus kekalkan momentum ini dalam kejohanan seterusnya terutama dalam persiapan kita menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia,” kata Soon Kit.

V Shem-Wee Kiong kini mengalihkan fokus mereka kepada saingan Masters Indonesia yang akan bermula, esok.

Mereka akan memulakan saingan menentang pasangan Denmark, Mathias Christiansen-David Daugaard untuk aksi pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 12:58 PM