GURU wanita terbabit menunjukkan cara dia mengikat kain pada mulut mangsa. FOTO NSTP
GURU wanita terbabit menunjukkan cara dia mengikat kain pada mulut mangsa. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan mengikat mulut dan tangan adik lelakinya membongkar rahsia perbuatan seorang guru tadika yang melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia lima tahun itu.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit, Jasleen, pernah diikat mulut dan tangannya ketika dihantar ibunya ke tadika terletak di Setapak, di sini.

Bagaimanapun, guru tadika itu memberi alasan tindakan dilakukan untuk mengajar mangsa yang dikatakan nakal supaya tidak membuat bising serta bergerak.

Ibu mangsa, Tee Aai Hong, 36, berkata, dia hanya menyedari anak sulungnya itu diikat di bahagian mulut dan tangan selepas melihat anaknya melakukan perbuatan sama terhadap anak lelakinya berusia dua tahun.

Dia yang terkejut dengan tindakan Jasleen kemudian meminta anaknya itu menjelaskan tindakannya itu sebelum memberitahu dia diperlakukan sedemikian oleh guru tadikanya beberapa kali.

Katanya, dia cuba mendapatkan penjelasan namun kecewa dengan jawapan diberikan guru itu yang mendakwa tindakannya bertujuan mengajar Jasleen yang dikatakan tidak duduk diam dan bising.

“Jasleen didakwa kerap bergerak dan memegang rambut menyebabkan guru itu terpaksa mengikat tangannya pada tempat duduk supaya dia tidak bergerak.

“Dia turut mendakwa mengikat mulut Jasleen kerana anak saya terlalu bising,” kata suri rumah itu.

Tambah mengejutkan apabila guru terbabit turut melakonkan semula tindakannya itu selain menunjukkan seorang murid lelaki diikat di bahagian tangan pada kerusi tadika.

“Wanita itu memaklumkan tindakan mengikat mulut dan tangan murid perkara biasa dilakukan mereka di tadika berkenaan sebagai tindakan mendisiplinkan murid.

“Penjelasan guru terbabit tidak masuk akal kerana perbuatan itu sama sekali tidak sesuai untuk mengajar kanak-kanak yang masih kecil.

“Saya faham dengan keadaan kanak-kanak yang nakal, namun bukan itu carany mengajar mereka,” katanya.

Dia kemudian membuat keputusan memberhentikan anaknya dari tadika itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 6:45 AM